KUANTAN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal
menyelesaikan isu-isu melibatkan komuniti orang asli di negeri ini.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berkata,
pihaknya menerima aduan daripada komuniti orang asli membabitkan pelbagai isu
seperti pengangkutan, pendidikan, Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), ekonomi,
sosial dan infrastruktur asas di kawasan penempatan mereka.
Menurutnya, rungutan itu membuktikan kerajaan PH gagal
membangunkan secara total semua aspek pembangunan orang asli menerusi
peruntukan kewangan disalurkan.
"Terus terang saya kecewa apabila beberapa isu
membabitkan komuniti orang asli gagal ditangani dengan baik walaupun sudah
beberapa kali disuarakan kepada pihak kerajaan dan pegawai Jabatan Kemajuan
Orang Asli (Jakoa) di Cameron Highlands.
"Sebagai contoh isu pengangkutan bas sekolah di
perkampungan orang asli Pos Terisu di sini yang tidak dibayar selama enam bulan
sehingga perkhidmatan tersebut terpaksa ditamatkan dan anak-anak orang asli tidak
dapat ke sekolah.
"Isu ini telah dibangkitkan pada Ogos tahun..Saya
sendiri ada bercakap dengan pegawai Jakoa di daerah Cameron Highlands tetapi ia
gagal diselesaikan walaupun cadangan penyelesaian sudah diberikan melalui
mesyuarat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Ramli berkata, sepanjang dua tahun pemerintahan kerajaan PH,
tiada satu pun projek pembangunan atau baik pulih infrastruktur asas seperti
air, elektrik, jalan raya dan perumahan PPRT dilaksanakan di Cameron Highlands.
Katanya, malah projek-projek pembangunan yang telah
diluluskan semasa pemerintahan BN dibatalkan.
"Saya akui perkara yang sedemikian juga berlaku di
semua kawasan perkampungan orang asli yang saya lawati di negeri lain,"
katanya.
Sehubungan itu Ramli merumuskan kerajaan hari ini gagal
melaksanakan aspirasi membangunkan komuniti orang asli apabila wujud rungutan
sebegini daripada mereka.
"Malah, Pelan Strategik Pembangunan komuniti orang asli
yang diuar-uarkan adalah bagai ‘mimpi di siang hari’ dan 'gula-gula untuk
kanak-kanak yang menangis’ sahaja.
"Saya akan terus memperjuangkan nasib komuniti ini di
Malaysia supaya keadilan dapat diberikan," katanya.
SUMBER :
0 comments:
Post a Comment