KUANTAN - Kerajaan Pahang sedang bergerak ke arah
pelaksanaan pemakaian patuh syariah dalam kalangan atlet beragama Islam sebagai
usaha memartabatkan syiar Islam di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
berkata, perkara itu diserahkan kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran
dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad untuk dibincang dan
diperhalusi sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Menurutnya, sebagai permulaan, Seminar Pemakaian Atlet Sukan
Patuh Syariah Peringkat Negeri Pahang diadakan hari ini bertujuan membincangkan
isu tersebut dan satu resolusi telah dikemukakan sebagai garis panduan
pelaksanaannya untuk diperhalusi.
"Kita juga akan merujuk perkara ini dengan Pejabat
Mufti Negeri dan Jawatankuasa Fatwa dan pihak-pihak lain sebelum membuat
sebarang keputusan tapi memang kita ke arah itu seperti mana yang dilaksanakan
di Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan
majlis penutup seminar itu di Auditorium Kolej Universiti Islam Pahang Sultan
Ahmad Shah (KUIPSAS).
Turut hadir, Syed Ibrahim; Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan
dan Badan Bukan Kerajaan, Datuk Seri Mohd Johari Hussain; Setiausaha Kerajaan
Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul
Rahman Osman.
Terdahulu dalam ucapan perasmian penutupnya, Wan Rosdy
berkata, selain membincangkan isu pemakaian patuh syariah, seminar anjuran
kerajaan negeri dan KUIPSAS itu juga bertujuan mengumpul dan membentuk
rangkaian cendekiawan ke arah menyumbang idea tersebut, selain menyemarakkan
kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pematuhan syariah terutamanya
pemakaian atlet sukan.
"Kita lihat perkara ini amat baik, bukan sahaja
mematuhi tuntutan agama, malah atlet yang memakai pakaian mematuhi syariah
boleh menjadi contoh khususnya golongan wanita untuk turut bersukan tanpa
menjadikan isu pakaian sebagai alasan," katanya.
Beliau berkata, walaupun pelaksanaan tersebut mempunyai
cabaran dan tentangan daripada pelbagai pihak termasuk atlet dan
persatuan-persatuan sukan, namun tegasnya, tuntutan agama perlu diutamakan.
Turut disenaraikan, 14 jenis sukan yang boleh dilibatkan
dalam pemakaian atlet patuh syariah termasuk silat, taekwondo, karate do, lawan
pedang, memanah, menembak dan golf.
Sebanyak 19 acara sukan pula turut disenaraikan
ke arah pemakaian patuh syariah melibatkan atlet perempuan termasuk renang,
tinju, angkat berat, pelayaran, ragbi, olahraga, badminton dan bola jaring.
SUMBER >
0 comments:
Post a Comment