Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, January 12, 2020

[LIPIS] KADAR CUKAI TANAH KEDIAMAN HANYA AKAN DIKENAKAN KADAR TAHUN 2007




SEMAKAN SEMULA KADAR CUKAI TANAH TIDAK MEMBEBANKAN



Semakan semula kadar cukai tanah di negeri ini bermula tahun ini tidak membebankan golongan masyarakat berpendapatan rendah.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini kerana kadar cukai tanah di negeri ini merupakan kadar paling rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

“Kerajaan Negeri telah mengkaji sebelum membuat keputusan menaikkan kadar cukai tanah ini dengan mengambil kira faktor kadar sebelum ini yang agak rendah berbanding nilaian tanah semasa.

“Pada asasnya, kadar baru ini dikira berasaskan faktor satu peratus dari nilai tanah semasa. Bagaimanapun, atas keperihatinan pihak kerajaan, penetapan kadar sebenar yang dibuat sebenarnya adalah lebih rendah daripada faktor satu peratus tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta di Dewan Balora Benta di sini hari ini.

Beliau berkata, semakan kadar cukai tanah yang dibuat oleh Kerajaan Negeri pada tahun ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara pada 14 Disember 2015 yang menetapkan semua negeri menyemak semula kadar cukai tanah negeri masing-masing.

“Kali terakhir negeri Pahang membuat semakan kadar cukai tanah adalah pada tahun 2007, namun ia diguna pakai kepada tanah yang diluluskan bermula tahun 2007 sahaja.

“Bagi tanah yang diluluskan sebelum tahun 2007, kadar cukai yang digunakan adalah kadar cukai tanah tahun 1994, iaitu 25 tahun lalu,” katanya.

Katanya, semakan kadar baharu ini dibuat secara menyeluruh melibatkan tanah-tanah industri, pertanian, perniagaan dan kediaman bagi menyelaras kadar cukai tanah di negeri Pahang bagi memastikan kadar cukai tanah bersesuaian dengan nilai tanah dan penggunaan tanah semasa.

“Kenaikan ini juga bertujuan menyelaraskan dua kadar kiraan cukai berbeza yang diguna pakai sebelum ini iaitu kadar tahun 1994 dan 2007.

“Kenaikan kadar cukai tanah ini memberi lebih penekanan kepada kawasan industri, perniagaan dan pertanian yang melebihi 10 ekar. Bagaimanapun, kadar yang ditetapkan adalah berbeza mengikut daerah dan lokasi serta jenis perniagaan atau perladangan,” jelasnya.

Beliau berkata, bagi tanah pertanian, kadar baharu ini hanya melibatkan tanah-tanah yang melebihi 10 ekar selaras dengan keperihatinan Kerajaan Negeri untuk tidak membebankan pekebun kecil, golongan B40 dan peneroka Felda serta Felcra.

Menurut beliau lagi, bagi tanah kediaman pula, tiada kenaikan kadar cukai dikenakan, namun penyelarasan dibuat bagi hakmilik yang masih menggunakan kadar cukai tanah 1994, di mana kadar baharu bagi tanah tersebut akan menggunakan kadar tahun 2007.

Mengulas mengenai rungutan mengenai kadar kenaikan cukai yang dihadapi oleh beberapa pihak, beliau menasihatkan supaya pemilik tanah menukar syarat kegunaan tanah bagi tanah berstatus tiada syarat.

“Bagi syarat tanah berstatus Nil Condition (Tiada Syarat) merupakan kadar kenaikan paling tinggi kerana nilaian tanah yang tiada syarat nyata ini adalah tinggi.

“Tanah-tanah ini terbahagi kepada tiga keadaan iaitu kategori ‘Tiada’ dan syarat nyata juga Tiada; kategori ‘Pertanian’ dan syarat nyata ‘Tiada’ dan kategori ‘Bangunan’ dan syarat nyata ‘Tiada’.

“Kerajaan Negeri mencadangkan pemegang hakmilik tanah tiada syarat ini supaya menukar syarat kegunaan tanah masing-masing kepada penggunaan sebenar bagi penetapan kadar baharu yang lebih rendah dan bersesuaian,” katanya.

Bagi rayuan pengurangan kadar cukai tanah pula Kerajaan Negeri bersedia menerima sebarang rayuan yang dirasakan layak untuk dipertimbangkan.

“Bagi pemilik-pemilik ladang, industri dan perniagaan yang merasakan cukai tanah mereka adalah terlalu tinggi sebagai kerajaan yang prihatin, Kerajaan Negeri bersedia menerima sebarang rayuan.

“Bagi tujuan tersebut, satu jawatankuasa rayuan akan ditubuhkan bagi mempertimbangkan setiap rayuan pengurangan cukai yang menepati syarat-syarat yang akan ditetapkan,” katanya.




0 comments:

share2