KUANTAN, -- Program Kembali ke Sekolah (BTS) Yayasan
Petronas 2019 menceriakan 800 penerima yang terdiri daripada pelajar sekolah
dari keluarga berpendapatan rendah (B40) di seluruh Pahang.
Pengurus Besar Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Pantai
Timur Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata sumbangan itu merupakan usaha
berterusan mereka untuk membantu golongan B40, sekali gus mengatasi kadar
keciciran pelajar akibat kekurangan peralatan sekolah.
Katanya, menerusi program itu, setiap pelajar menerima dua
pasang pakaian seragam sekolah, masing-masing sepasang stokin dan kasut, baju
hujan, beg galas dan peralatan sekolah yang keseluruhannya bernilai RM240
seorang.
Sementara itu, seorang ibu penerima, Mariam Harun, 46,
menyifatkan sumbangan itu sebagai pendorong untuk anak bongsunya, Nur Alis
Azman, 10, untuk memulakan sesi persekolahan baru pada tahun depan dengan lebih
bersemangat.
"Pemberian ini juga sedikit sebanyak meringankan beban
kewangan saya dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak kerana selain Nur
Alis, saya masih mempunyai seorang lagi anak yang bersekolah.
"Sedangkan, saya hanya bergantung kepada elaun anggota
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial
arwah suami yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada tahun lalu,"
katanya semasa ditemui pemberita pada majlis itu di Kampung Balok Baru di sini..
Seorang lagi penerima Maznah Omar, 46, yang juga ibu tunggal
menyifatkan sumbangan itu membolehkan anaknya Nor Syazliana Mohd Sidi, 10,
berpakaian serba baharu pada hari pertama persekolahan seperti rakan-rakannya
yang lain.
Katanya, ia diharap dapat meningkatkan keyakinan Nor Syazliana
sekali gus membakar semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh supaya
mendapat keputusan yang baik dan berjaya mengubah nasib keluarga pada masa
depan.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment