Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan membidas tindakan menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang semakin melampau dalam mengeluarkan kenyataan berhubung sesuatu perkara.
Ujarnya, jika dahulu mereka mengkritik dan mencemuh kerajaan BN, kini tindakan mereka sebagai kerajaan lebih teruk lagi hingga tahap menggunakan isu perkauman dan melampaui batas.
“Tapi nampaknya kebelakangan ini apa yang saya lihat menteri-menteri keadaannya amat melampau sekali dan bercakap yang bukan-bukan. Yang saya khuatiri adalah menteri yang kadang-kadang bercakap melampui batas-batas umpama membawa isu-isu perkauman, ini tidak baik.
“Kita pilihan raya sekejap sahaja 16 hari. Selepas ini nanti penduduk Malaysia, Tanjung Piai akan hidup seperti satu keluarga yang besar. Penduduk Malaysia akan hidup sampai bila-bila.
“Apakah kita nak menang kita hendak menghancurkan keharmonian, kesejahteraan negara yang telah terbina selama ini? Dan untuk membina semula bukan senang. Dan bila perasaan dah terpendam terutamanya isu-isu yang membawa perkauman itu merbahaya,” ujarnya kepada media selepas program sembang santai bersama rakyat di Warung Nelayan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Penerok, malam tadi.
Ulasnya lagi, Mohamad yang lebih dikenali dengan Tok Mat berharap agar menteri-menteri kabinet dapat mendalami ilmu mengenai etika terutama komunikasi bersama rakyat.
“Saya hendak menasihat walaupun bukan kapasiti saya untuk menasihat kepada menteri yang baru ini yang belum belajar lagi tentang etika, saya harap mereka belajarlah tentang etika, janganlah kita melampaui batas-batas.
“Kalau nak menang kita buat secara ‘gentleman’. Orang sekarang ini bukannya bodoh, jangan pandang rendah pemikiran orang lain dan jangan hina keintelektualan orang lain yang juga boleh berfikir,” tegasnya lagi.
Timbalan Presiden UMNO itu juga menempelak tindakan sesetengah pemimpin kerajaan yang suka memberi amaran dan ugutan kepada pengundi.
“Memberi amaran itu tidak ada etika. Mengundi adalah hak masing-masing, semua orang boleh mengundi siapa yang disukai. Ini adalah terjamin di dalam perlembagaan kita.
“Kita tidak boleh paksa orang…menteri tidak boleh paksa penjawat awam…mana boleh paksa, itu bersalahan dari segi etika dan itu juga saya rasa kalau sebagai seorang menteri bercakap kepada penjawat awam itu sudah merupakan ugutan dan ugutan menjadi kesalahan dalam peraturan-peraturan pilihan raya.
“Kalaupun Pemuda UMNO buat laporan polis, itu terpulang kepada pihak polis untuk meneliti sama ada kes itu perlu disiasat lebih lanjut ataupun tidak,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai calon BN diwakili dari parti MCA, Mohamad berkata itu merupakan satu bukti UMNO tidak rasis, walaupun Palimen Tanjung Piai majoritinya pengundi Melayu.
“Itu maknanya UMNO tidak bersifat perkauman. Kita pandang gambar yang lebih besar bukan di Tanjung Piai sahaja. Penyatuan ummah fasa pertama menyatupadukan orang Melayu kemudian kita mengembangkan kepada rakyat Malaysia supaya menjadi rakyat yang harmoni.
“Dan kita mahu menghantar suatu mesej kepada orang ramai bahawa UMNO ini tidak perkauman. UMNO dah lama mentadbir lebih 60 tahun, walaupun ada kekurangan orang Cina, India marah kepada BN termasuklah orang Melayu tetapi kita bersama-sama, dalam ketidakcukupan itu kita dapat membina dan membangun negara.
“Tak timbul soal UMNO rasis hanya kerana kita mahu menyatupadukan orang Melayu. Apakah menyatupadukan orang Melayu itu dianggap rasis? Itu sudah salah makna atau definisi rasis tersebut,” tegasnya lagi.
Berhubung dengan telahannya yang sering mengatakan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad tidak akan menyerahkan kerusi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mengadakan pilihan raya umum ke-15 lebih awal pada bila-bila masa, katanya itu sebenarnya sebagai peringatan kepada UMNO/BN supaya sentiasa siap sedia.
“UMNO jangan bersenang-lenang dan harus bersiap sedia. Jika ada ‘snap election’ apakah UMNO BN telah bersedia…itu yang hendak saya bagitahu.
“Jangan ambil sambil lewa…penyatuan ummah oh gerenti kita akan menang. Bukan itu. Kita mesti juga ambil pertimbangan Sabah dan Sarawak sebagai penyumbang terbesar.
“Jadi, kita mesti mempunyai jiwa yang besar. Kita mesti faham apa yang disusun dan diatur supaya yang pentingnya nanti pilihan raya umum,” jelasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment