Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 1, 2019

KERAJAAN PAHANG AKAN WUJUDKAN KEMBALI JKKK JIKA MPKKP DIPERKENALKAN









Kerajaan Pahang membantah sekeras-kerasnya usaha untuk mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) – sebuah lagi entiti pengurusan di kampung-kampung.

Selain usaha ini dilihat satu lagi pusingan-U oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH), ia juga merupakan tindakan negatif yang boleh memecah-belahkan lagi penduduk kampung yang dalam kalangan Melayu.

Apabila PH mengambil-alih Kerajaan Persekutuan, ia telah memperkenalkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Ekoran itu, Kerajaan Pahang pimpinan Barisan Nasional (BN), turut akur dan telahpun menubuhkan 542 MPKK di seluruh negeri ini.

Sebagai mematuhi keputusan Kabinet juga ke atas Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri BN di Pahang dan Perlis, Kerajaan Pahang sanggup menerima lima (5) wakil daripada PH untuk menganggotai setiap 542 MPKK tersebut.

Namun sehingga kini, nama wakil-wakil berkenaan belum juga diperolehi daripada PH menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar. 

Oleh itu, pengisian lima (5) wakil PH ini belum dilaksanakan bagi menjadikan keseluruhan keanggotaan MPKK seramai 18 orang iaitu – seorang Pengerusi, seorang Setiausaha dan 16 orang wakil penduduk termasuk lima (5) orang daripada PH.

Tetapi kini, ada laporan menyebut, MPKKP akan diwujudkan di Kelantan ekoran masalah yang dihadapi di negeri itu, dan yang sama hendak diwujudkan di Pahang sepertimana memetik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Puan Fuziah Salleh sebagai berkata.

Pegawai Kerajaan Pahang dari Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri cuba mendapatkan kepastian mengenai ura-ura pengwujudan MPKKP tetapi sehingga kini, belum menerima apa-apa maklum-balas mengenainya.

Oleh itulah, Kerajaan Pahang masih berpegang kepada ketetapan Kabinet Kerajaan Persekutuan sebelum ini tentang pembentukan MPKK dengan tambahan lima (5) wakil PH di negeri ini. 

Kerajaan Pahang berharap, Kabinet Kerajaan Persekutuan pimpinan PH akan tetap dengan pendirian asalnya yang jika tidak, Kerajaan Pahang akan mewujudkan kembali JKKK di kesemua 542 kampung di negeri ini. 


DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang


0 comments:

share2