KUALA LIPIS, 30.10.2019 : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan
Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melakukan lawatan
mengejut ke Kampung Baru Cina di Benta, Kuala Lipis di mana 22 orang tinggal
sehelai sepinggang selepas kebakaran awal pagi tadi.
Seri Paduka berangkat ke Benta sejurus selepas menerima
keberangkatan tiba Raja-raja ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-255 di Istana
Negara di Kuala Lumpur, pagi ini.
Tuanku tiba dengan helikopter di padang Sekolah Kebangsaan
Benta pada pukul 11.53 pagi sebelum sampai di kampung itu yang terletak
berdekatan pada kira-kira pukul 12 tengah hari menggunakan sebuah kenderaan SUV
yang menunggu baginda.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1.08 pagi tadi, sebanyak
15 buah rumah di kampung itu musnah dalam kebakaran namun tiada kemalangan jiwa
dilaporkan.
Pada kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah mengingatkan
rakyat agar berwaspada dan memberi perhatian kepada bangunan lama dan usang
terutamanya pada aspek pendawaian elektrik yang boleh mendatangkan kemudaratan.
"Walaupun semua penghuni rumah selamat, ia merupakan
peringatan kepada kita tentang betapa bahayanya kejadian ini yang boleh berlaku
bila-bila masa sahaja jika kita tidak berhati-hati," titah Tuanku.
Seri Paduka turut menzahirkan simpati dan berharap keluarga
mangsa yang terlibat bersabar dan agar semua pihak sama-sama memberikan
bantuan.
"Pihak pejabat daerah dan pejabat yang berkaitan akan
membuat laporan yang sewajarnya dan kita akan usahakan untuk mencari
sumber-sumber untuk boleh kita baiki harta-harta (yang musnah) dalam kebakaran
ini," titah Tuanku.
Pada kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan
sumbangan kepada mangsa serta meninjau kawasan kediaman yang terbakar.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang
Nor Hisham Mohammad ketika ditemui di tempat sama berkata punca kejadian masih
dalam siasatan dan akan diketahui dalam waktu terdekat.
Sumber-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment