Pemuda UMNO Johor berharap tumpuan parti hari ini terus kepada sasaran yang sebenar dan tidak bertelagah antara satu dengan yang lain di dalam parti sendiri kerana akhirnya ia tidak menguntungkan parti.
Ketua Pemudanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata apa yang perlu difokuskan adalah gerak kerja semasa parti dan tentunya agenda penyatuan ummah yang hari ini telah menjadi bualan kepada masyarakat umum.
“Pemuda UMNO Johor menyambut baik kenyatan Ketua Pemuda UMNO, DatuK Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas selaku Presiden UMNO setelah bercuti agar ianya tidak harus mencetuskan polemik baru di kalangan ahli.
“Memang benar dan betul perkara tersebut tidak perlu dijadikan polemik mahupun perkara baru yang menjadi masalah kepada parti. Ini kerana sepertimana kenyataan pelbagai pihak, ia selaras dengan Perlembagaan UMNO dan hak mutlak beliau selaku Presiden Parti yang sah,” katanya kepada UMNO-Online.
Sebelum ini Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata pengumuman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas selaku Presiden UMNO setelah bercuti tidak harus mencetuskan polemik baru di kalangan ahli kerana ia selaras dengan Perlembagaan Parti dan hak mutlak beliau selaku Presiden Parti yang sah.
Katanya di kala Regim Pakatan Harapan (PH) yang haru biru dan sedang mengalami pergolakan dalaman yang kronik, UMNO harus menumpukan usaha untuk membela nasib rakyat yang kian sengsara dengan pelbagai dasar PH yang menyusahkan mereka.
Hairi seterusnya menambah apa yang perlu dilaksanakan hari ini adalah menyantuni dan menyelami suara hati rakyat yang rata-rata tidak berpuas hati dengan kerajaan yang ada hari ini.
“Sehubungan itu janganlah kita bertelagah sesama sendiri apatah lagi sepertimana yang diperkatakan tadi menyerang antara satu dengan yang lain. Kenalilah musuh kita yang sebenar dan fokus kepada kepincangan dan kecelaruan di dalam PH,” tambahnya lagi.
0 comments:
Post a Comment