Para peneroka Felda di sini menggesa kerajaan segera membuat pembayaran wang sara hidup memandangkan kebanyakan mereka kini bergantung hidup kepada bantuan tersebut.
Pengerusi Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Bukit Tajau, Nor Azhar Abdul Latif, 58, berkata, kelewatan bayaran wang sara hidup cukup menyukarkan kehidupan warga Felda ketika ini.
“Peneroka berharap masalah kelewatan bayaran sara hidup tidak berlaku lagi tahun depan kerana dalam era pemerintahan kerajaan terdahulu tiada masalah kritikal seperti ini.
“Bayaran mengikut hektar itu perlu dibayar penuh tanpa ada unsur bayaran separuh kerana secara purata mereka hanya menerima purata RM1,000 sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagi penerokawati Felda Bukit Tajau, Rosmala Abd. Rahman, 52, peneroka sudah cukup menderita dengan kelewatan bayaran wang sara hidup sejak bulan lalu.
Menurutnya, pada hakikatnya taraf kehidupan peneroka Felda selepas Mei tahun ini berada tahap kemiskinan tegar kerana ada peneroka tidak mempunyai pendapatan.
Setiausaha MPKK Kampung Anggerik Jengka 1, Abdullah Ani, 62, beranggapan dana sebanyak RM77 juta itu sebagai perintis mengatasi penderitaan peneroka dalam jangka masa pendek.
“Kerajaan Pusat melalui Felda perlu memanfaatkan dana itu sebaik mungkin demi mengatasi keluh kesah masyarakat peneroka yang majoriti Melayu,” katanya.
Sebagai contoh katanya, kerajaan perlu mewujudkan harga lantai sawit seperti RM400 satu tan metrik iaitu subsidi akan diberikan kepada peneroka jika harga komoditi itu di bawah paras berkenaan.
0 comments:
Post a Comment