Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) merancang untuk membina rumah di bawah harga RM200,000 di negeri ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Khalijah Abdul Malek berkata, pihaknya menyedari keperluan rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah dengan harga lebih berpatutan.
Menurutnya, PKNP melihat usaha sebegitu dapat membantu kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah sendiri.
“Untuk masa akan datang dan sesuai dengan pasaran semasa kita sedang mengkaji semula pendekatan supaya dapat membina rumah-rumah yang boleh dijual dengan harga kurang daripada RM200,000.
“Ini supaya kita dapat membantu kerajaan untuk memenuhi hasrat rakyat memiliki rumah dan kita faham ramai rakyat di negeri ini perlukan rumah dengan harga demikian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau ditemui ketika melawat rumah contoh di Taman Saujana Utama Jerantut sempena pelancaran semula dan promosi jualan di taman tersebut, esok.
Dalam pada itu, untuk merealisasikan hasrat tersebut, PKNP sedang mengkaji untuk menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) iaitu pembinaan pasang siap supaya dapat mengurangkan kos pembinaan.
“Tanpa gunakan teknologi baru agak sukar untuk kita membina dengan kos lebih murah.
“Dengan keadaan semasa,kos binaan agak tinggi dan untuk menggunakan sistem ini kita akan mencari kawasan sesuai,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau menyeru warga Jerantut dan sekitar tidak melepaskan peluang sempena promosi jualan esok bermula jam 8 pagi hingga 6 petang yang menawarkan diskaun istimewa dan tawaran menarik kepada pembeli.
Setakat ini taman tersebut berbaki 59 unit lagi menawarkan unit rumah teres setingkat bermula dengan harga RM217,834 ke atas dan rumah berkembar setingkat jenis A dan B dari harga RM288,000 ke atas.
0 comments:
Post a Comment