Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 22, 2018

JAWAPAN LUCU, TIDAK MUNASABAH MENTERI BUAT RAKYAT KURANG YAKIN TERHADAP KERAJAAN






Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri berpandangan bahawa keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan semakin berkurang ekoran menteri-menteri yang kurang kredibiliti, kekurangan ilmu dan tidak munasabah khususnya apabila memberikan jawapan dalam isu-isu semasa seperti kos sara hidup, pendidikan dan sebagainya.

Menurut beliau, ini memandangkan banyak kenyataan yang dibuat oleh menteri kerajaan Pakatan Harapan kini seolah-olah hanya memberikan alasan semberono tanpa berasaskan serta berdasarkan fakta.

“Contohnya seperti dalam soal kenaikan harga ikan misalnya, menteri memberikan jawapan seperti jika ikan banyak dilautan, harga akan turun. Ikan yang dimaksudkan bukan di dalam kolam, tetapi di dalam laut.

“Kalau ikan itu berbilion pun jumlahnya, ia bukanlah boleh ditangguk begitu saja. Jadi, jawapan tersebut sudah cukup memperlihatkan sejauh mana kredibiliti seseorang menteri itu”, katanya.

Sama juga jelas beliau seperti dakwaan Menteri KPDNKK, bahawa harga barangan akan turun dan sebagainya dengan sifarnya GST.

“Apa yang saya nak beritahu, harga bukan ditentukan oleh cukai semata-mata, tetapi harga barang juga boleh meningkat akibat menipulasi oleh peniaga itu sendiri. Dari segi orang tengah yang mengambil keuntungan yang berlebihan”, ujarnya.

Justeru tambah beliau semua perkara itu merupakan faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan harga dan sebagainya.

“Pernah Menteri Pertanian beritahu, oleh kerana tidak ada GST, harga sayur dan ikan akan turun 30 peratus. Ini juga menunjukkan, menteri itu tidak tahu apa yang dia cakap. Sebabnya, waktu ada GST pun semua barang makanan, sayur, ikan, daging dan sebagainya tidak ada GST.

“Juga seperti isu kasut hitam. Kita bayangkan bagaimana Menteri Pendidikan yang baru ini akan bercakap bagaimana untuk meningkatkan kualiti pendidikan kepada anak-anak kita. Bukan soal kasut hitam, kasut biru, kasut hijau dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Diskusi N49, Calon Suara Rakyat dianjurkan oleh Media UMNO Malaysia yang diadakan secara langsung di Bangunan UMNO Selangor di sini, Sabtu malam.

Tambah beliau, jawapan-jawapan yang diberikan oleh menteri-menteri kerajaan hari ini berhubung soal-soal isu semasa ini adalah sesuatu yang agak melucukan yang mana memperlihatkan tidak ada kompitensi dari segi mereka sebagai pemegang jawatan yang penting dalam kerajaan.

“Saya faham, mungkin menteri-menteri yang ada dalam kerajaan hari ini semuanya baru dan tidak ada pengalaman, tetapi jika sudah tahu diri mereka itu orang baru, jangan main cakap saja sesuka hati untuk memberikan alasan kepada soal-soal isu semasa ini.

“Seperti yang saya katakan bahawa kenyataan-kenyataan mereka ini, termasuklah kenyataan Menteri Kewangan yang mendakwa hutang negara 1 Triliion yang telah menyebabkan pelabur mula lari, telah membuatkan bukan sahaja rakyat, tetapi pelabur-pelabur luar juga mula lari akibat tidak yakin dengan kerajaan berdasarkan apa yang mereka umumkan itu,” tegasnya.

Program yang diadakan setiap hari dalam tempoh berkempen di PRK Sungai Kandis ini turut mengundang calon Barisan Nasional (BN)DUN Sungai Kandis, Datuk Noor Lokman Adam dan juga Tun Faisal Ismail sebagai moderator program tersebut.


0 comments:

share2