Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 10, 2018

MAKNANYA, DAH TAK BOLEH KE NAK TUNTUT JANJI?






Banyak janji yang dulu dikatakan akan dilaksana dalam tempoh 100 hari kalau Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah dimungkiri.

Sebelum hari ke-100 lagi, PH sudah tahu yang mereka tidak akan dapat melaksanakan janji-janji mereka dalam tempoh 100 hari, malah mungkin tidak boleh ditunaikan langsung.

Tol hapus dan minyak turun harga ialah janji yang mula-mula rakyat dapat tahu tidak terlaksana, kerana sudah diumum hanya diskaun 50 peratus selama dua hari diberikan.

Diskaun 50 peratus ini diumum awal kerana hendak menjawab janji Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum PRU14 yang menjanjikan tol percuma selama lima hari.

Masing-masing dalam hati ada rasa kecewa tetapi mungkin rasa seronok kerana berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional masih kuat hingga janji dimungkiri masih boleh dianggap luka kecil.

Minyak pada mulanya tidak naik, dan ini melegakan tetapi minggu lepas naik 19 sen selepas beberapa minggu kekal.

Ada yang mengecam pengkritik dengan mengatakan yang sibuk mengkritik harga naik bukan pengguna minyak RON97 itu.

Sebenarnya ramai yang menggunakan minyak itu, kerana keperluan kenderaan mereka contohnya, dan kenaikan ini memang memberi kesan dalam musim balik kampung ini.

Sangat lemah hujah mengatakan tidak ramai menggunakan minyak RON97, jadi kenaikan tidak membebankan orang ramai, seolah-olah minyak 97 ini hanya dibeli oleh yang betul-betul kaya.

Maka ramai rakyat yang tidak mendapat apa yang dijanjikan menjelang Aidilfitri nanti, dan masih perlu membayar harga minyak dan tol.

Bermakna ramai tidak dapat faedah jangka pendek kemenangan BN dengan minyak murah dan tol percuma Hari Raya nanti, malah bakal hilang banyak lagi dalam jangka panjang.

Yang perlu membayar hutang PTPTN masih perlu terus membayar, kerana janji menangguhkan pembayaran seperti dalam manifesto itu sudah ditangguh.

Pemimpin-pemimpin PH bersungguh mengatakan hutang zaman Najib menyebabkan mereka susah hendak menunaikan janji.

Mereka mendakwa tidak tahu sebenarnya jumlah hutang negara sebesar itu, dan manifesto mereka berdasarkan angka yang diberi kerajaan BN.

Ini jelas satu penipuan kerana ramai pemimpin utama mereka berpengalaman, dan mereka ada orang dalam yang sering menghulur maklumat.

Ramai daripada mereka baru sahaja keluar meninggalkan kerajaan dan UMNO, takkan mereka ini juga tidak tahu langsung keadaan sebenar.

Lalu di manakah kita boleh berpegang dengan kerajaan PH ini, sedangkan kita diberitahu yang manusia dipegang pada janjinya.

Janji dan pujukan mereka yang kedudukan Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu akan dipelihara kalau mereka memerintah juga sudah dimungkiri.

Mereka pada masa yang sama mengguna senjata siber mereka menyebarkan kebaikan pemimpin mereka dan memaki hamun pengkritik parti mereka.

Makin sukarlah rakyat hendak menuntut janji, atau menuntut apa-apa daripada kerajaan baru ini, kerana silap cakap, habis dimaki nanti.

Nampaknya hampir semua janji tidak dapat ditunaikan, malah lengkapkan menteri-menteri Kabinet yang bukan janji tapi keperluan pun masih belum selesai.

Jadi bersedialah untuk perjuangan panjang hidup di bawah kerajaan PH ini, yang sangat manis janji-janjinya tetapi banyak pula alasan bila janji dituntut.

Entah apa lagi yang menunggu kita rakyat Malaysia di depan nanti, kalau kuasa mereka sudah kukuh dan mereka berjaya menyebarkan imej baik mereka hingga diyakini benar semata-mata.


0 comments:

share2