Baru-baru ini, kecoh di seluruh negara apabila diberitahu oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa hutang negara kini melebihi RM1 trilion (1,000,000,000,000).
Keadaan hutang tinggi itu dikatakan kononnya berpunca daripada kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak mentadbir kewangan negara dengan baik.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut memperakui perkara itu apabila mengatakan hutang negara yang berjumlah RM689.8 bilion akan mencecah RM1 trilion sekiranya dikira sekali dengan liabiliti kerajaan.
Beliau cuba menipu isu jumlah hutang negara walhal amaun diumum kerajaan BN sebelum ini adalah menurut piawaian Standard Penyebaran Data Khas (SDDS) yang diguna pakai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini menambah angka baharu kepada jumlah itu, dengan memasukkan sekali komitmen seperti pembayaran pajakan dan bayaran penyelenggaraan terhadap hutang kerajaan dan liabiliti luar jangka berjumlah RM201.4 bilion.
Soalan sebenar di sini adalah bagaimana Guan Eng mengira hutang negara ini? Adakah beliau menggunakan kaedah yang lazim digunakan oleh sindiket Ah Long atau ceti peminjam wang haram?
Hanya Ah Long sahaja yang dapat mengira hutang pelanggannya dengan betul setelah menambahkan ‘bunga’ yang tidak sepatutnya untuk dikira sekali dengan pinjaman yang diambil.
Selain itu, hanya Ah Long yang ‘otai’ sahaja boleh meningkatkan jumlah hutang negara dari RM686.8 bilion yang diumumkan oleh pihak kerajaan BN sebelum ini kepada RM1 trilion.
Untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai hutang negara yang bukan keluar dari mulut Guan Eng, mari baca penjelasan dari soalan lazim yang timbul berkenaan hutang negara hasil tulisan portal The Patriots.
Berapa sebenarnya hutang negara kita? 1 Trillion ke 700 billion?
Hutang negara kita sebenarnya adalah RM686 bilion sahaja. Ia kira-kira 50.8 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar).
KDNK ialah jumlah nilai barang akhir dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh faktor pengeluaran dalam sesebuah negara dalam tempoh satu tahun. Ia merupakan satu cara untuk mengukur ekonomi nasional sesebuah negara.
KDNK negara kita pula sekitar RM1,352.5 billion (1.3 trilion) setiap tahun. Angka RM1 trilion yang didapati itu adalah apabila hutang negara kita dicampurkan dengan hutang yang dijamin kerajaan dan hutang pajakan. (Contigent Liabilities dan PPP).
PPP ialah bayaran pajakan untuk kerjasama projek awam dan swasta aka ppp (public private partnership) seperti projek-projek membuat sekolah, hostel, jalan raya, balai polis, hospital dan sebagainya. Selain daripada kos membina, bayaran PPP juga termasuk dengan bayaran sewa dan penyelangaraan.
Jadi, kalau anda tanya hutang negara kita ini berapa, kami lebih suka untuk ikut perkiraaan 686.8 Billion itu kerana ia merupakan perkiraan piawaian (standard) yang digunakan oleh semua kerajaan di dalam dunia.
Perlu diketahui bahawa rizab antarabangsa negara berjumlah USD101.5 bilion (bersamaan dengan RM428.9 bilion) pada 31 Oktober 2017. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek. Rizab negara kita antara yang tertinggi di dunia tau.
Habis, yang PM dengan MOF baru kita gunakan angka 1 trilion tu bagaimana? Kerajaan terdahulu menyembunyikan ke angka 1 trilion ini?
Sejujurnya kami tidak tahu kenapa Mahathir menggunakan angka 1 trilion ini. Namun, sebenarnya kerajaan terdahulu juga menggunakan piawaian yang terpakai untuk mengira hutang negara. Bahkan pada zaman Tun M, piawaian yang lebih kurang sama terpakai di mana Contigent Liabilities+PPP/PFI tidak diambil kira seperti hari ini.
Adapun sebenarnya angka seperti hutang jaminan kerajaan tidak pernah diketepikan dalam laporan kewangan negara. Kalau anda rujuk setiap penyata kewangan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, kedua-dua perkara tersebut masih lagi terselit pada laporan.
Cuma pendefinisian kerajaan baru hari ini agak melawan arus dan kali pertama digunapakai di dunia sehinggakan angka hutang kita agak membelon.
Untuk rujukan PPP boleh dapatkan disini: http://www.ukas.gov.my/en/senarai-projek-utama
Penyata kewangan negara kita ini juga diteliti oleh agensi kewangan seperti Moody’s, S&P dan Fitch juga tahu butiran dan jumlah hutang yang dijamin kerajaan ini. Mereka memberikan rating yang tinggi bagi Malaysia (A3 A-, A-). Boleh lihat laporan di bawah juga.
Jadi, tidak ada apa yang perlu dirisaukan (penjelasan lebih lanjut akan diberikan pada soalan khusus berkaitan agensi kewangan pemberi rating ini).
Ada tak negara yang berhutang lagi banyak dari Malaysia?
Dengan sukacitanya ia terlalu banyak. Saya boleh berikan kepada anda lebih 79 buah negara miskin, membangun dan maju yang jauh lebih tinggi hutang negara mereka berbanding kita. Di bawah ialah angka yang pernah dan sedang dicapai oleh negara maju yang lain. Data meletakkan peratusan hutang daripada KDNK mereka pada sekurang-kurangnya untuk bulan Julai 2017 ini.
Kita berhutang dengan siapa sebenarnya?
Pecahan hutang kita semua adalah seperti berikut:
– Pemilik Asing: RM186.3 bilion
– KWSP: RM182.3 bilion
– Institusi Perbankan: RM157.6 bilion
– Syarikat Insurans: RM30.9 bilion
– Lain-lain: RM30.4 bilion
– KWAP: RM21.9 bilion
– Institusi Kewangan Pembangunan: RM18.4 bilion
– BNM: RM4.6 bilion
– Institusi bukan kewangan: 0.67 Billion
Kerajaan menerbitkan bon dalam pelbagai bentuk di antaranya bon yang mempunyai risiko rendah pelaburan seperti bil perbendaharaan, MGS (sekuriti kerajaan Malaysia) dan GII (Govenment Investment Issue). Bon-bon berisiko rendah ini mempunyai tempoh matang yang tersendiri, bermakna sepanjang tempoh matang ini, kerajaan perlu memberi servis faedah kepada pemegang-pemegang bon yang terdiri daripada badan institusi seperti EPF, KWAP, TH, PNB, institusi insurans dan institusi perbankan. Faedah yang diservis ini dikira sebagai hutang.
Melalui servis faedah inilah, KWSP, TH, PNB membayar dividen, KWAP membayar wang pencen, institusi insurans membayar pampasan dan tanggungan polisi mereka manakala institutsi perbankan membayar pulangan faedah atau hibah simpanan kepada pelangggan mereka.
Sekejap… bon itu apa sebenarnya?
Bon merupakan akujanji hutang diterbitkan oleh kerajaan. Anda akan dikira sebagai pemberi pinjaman sekiranya membeli atau melabur dalam bon manakala kerajaan adalah peminjam kepada anda.
Biasanya kerajaan menerbitkan bon untuk biaya perbelanjaan pembangunan serta mahu memiliki bajet yang seimbang. Harga bon dipengaruhi pelbagai faktor seperti faedah, inflasi, tarikh matang dan kualiti kredit. Ramai memilih untuk melabur dalam bon kerana faedah yang ditawarkan.
Antaranya ialah bon lebih rendah risiko berbanding saham serta menawarkan pulangan dalam bentuk faedah berkala yang tetap serta membolehkan pelabur mengekalkan wang pokoknya.
Sebagai balasan, kerajaan akan membayar faedah tetap (dikenali sebagai kadar kupon) bagi sepanjang tempoh pinjaman dan memulangkan jumlah pokok yang dipinjam apabila bon mencapai tempoh matang. Pemilik utama bon di Malaysia ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dana pencen, syarikat insurans dan institusi kewangan lain.
Saya ada nampak yang kualiti kredit pada penjelasan kepada soalan sebelumnya. Apakah kualiti kredit ini berkaitan dengan agensi kewangan yang memberi rating pada ekonomi dunia?
Yang membaca pun tentu dah faham bagaimana kerajaan menerbitkan bon untuk berhutang serta bagaimana sebuah bon itu berfungsi. Sekarang apa kaitan kredit rating yang diberikan oleh agensi kewangan seperti Moody’s, S&P dan Fitch dengan hutang negara? Tadi kita tahu bahawa harga bon itu dipengaruhi oleh faedah dan kualiti kredit.
Tiga agensi kewangan yang disebut merupakan agensi kewangan terbesar di dunia dan di mana pelabur menggunakan kredit yang diberi mereka untuk melabur ke dalam sebuah negara. Mereka menilai sebuah kewangan negara berdasarkan data ekonomi dan kewangan negara (Quantitative measure) dan juga keamanan dan kestabilan politik sesebuah negara (Qualitative measure).
Faedah yang dibayar dalam bentuk kadar kupon akan menjadi rendah apabila kredit rating adalah tinggi. Faedah yang diperoleh oleh mereka akan tinggi berdasarkan kredit yang rendah Ia juga memberi gambaran kepada pelabur bahawa tentang risiko yang akan dihadapi oleh mereka.
Semakin tinggi rating daripada tiga agensi kewangan ini, semakin rendah risiko pelaburan. Pelabur akan memilih negara yang mempunyai rating tinggi kerana kebiasannya pelabor bon tidak gemar pada pelaburan berisiko tinggi. Rendahnya kredit rating akan menyebabkan kadar faedah bon akan bertambah di mana secara tidak langsung akan menyebabkan kos untuk membayar hutang meningkat.
Untuk rekod bagi kawasan Asia Tenggara, kita hanya di belakang Singapura sahaja dalam kredit rating yang diberikan ke atas negara kita.
Apa yang kita tidak mahu ialah rating ke atas ekonomi kita jatuh memandangkan kerajaan baru sahaja memansuhkan salah satu sumber pendapatan negara iaitu GST berjumlah 40 billion setahun. Kenyataan kerajaan mengenai hutang negara berdasarkan pengiraan baru luar dari piawaian dunia juga merisaukan memberi kesan kepada kredit rating kewangan kita.
Apa-apa pun, di bawah ialah data kredit rating di bawah:
Malaysia :
Standard & Poor : A-
Moody’s : A3
Fitch : A-
Indonesia :
Standard & Poor : BB+
Moody’s : Baa3
Fitch : BBB-
Singapura :
Standard & Poor : AAA
Moody’s : Aaa
Fitch : AAA
Thailand :
Standard & Poor : BBB+
Moody’s : Baa1
Fitch : BBB
Greece yang pernah bankrap :
Standard & Poor : B-
Moody’s : C
Fitch : CCC
Ya, menurut ketiga-tiga agensi kewangan ini, ekonomi dan kewangan negara tidak ada masalah berkenaan hutang negara kita. Bahkan, kita masih mampu menarik pelabur-pelabur dari seluruh dunia untuk membeli bon dengan kita. Kebanyakan agensi kewangan di atas meletakkan negara kita pada kedudukan yang sama taraf “High Grade” dan juga “Upper Medium Grade” berbanding kebanyakan negara di Asia Tenggara.
Sebab itu kalau anda perasan, hutang negara Indonesia rendah (33.1%) sahaja daripada KDNK mereka kerana rating yang diberikan kepada mereka rendah, dan pelabur tidak berani untuk melabur di negara mereka dan membeli bon terbitan mereka kerana risiko yang lebih tinggi.
Dalam masa yang sama, walaupun Singapura memiliki hutang 110.5% daripada KDNK mereka, namun rating yang diberi oleh ketiga-tiga agensi kewangan ini menunjukkan betapa ekonomi Singapura di tahap “Prime.” Pelabur tentunya akan memilih negara seperti Singapura untuk membeli bon-bon terbitan mereka.
Kenapa Greece boleh bankrap kalau kita kata hutang negara tak berbahaya?
Kes Greece ini adalah sangat unik. Greece tidak punya kuasa untuk mencetak wang tersediri kerana merupakan sebahagian daripada European Union. Kredit rating yang diberikan oleh tiga agensi kewangan kepada Greece pun agak rendah memandangkan mereka pernah terlibat dengan penipuan data kerana menipu untuk masuk ke dalam EU pada tahun 2002.
Hutang negara seperti Greece sebahagian besar hutangnya dengan negara atau agensi luar. Penganjuran olimpik juga merupakan bom jangka kepada ekonomi Greece kerana belanja yang amat besar untuk menguruskannya.
Bermula pada tahun 2009, pada ketika krisis ekonomi sedang melanda dunia, Greece merupakan antara kerajaan terkena impaknya. Makanya, kerajaan Greece cuba menjalankan langkah penjimatan seperti menaikkan GST, memperkenalkan cukai rokok dan alkohol, peningkatan harga gas, pembekuan pencen dan had maksima bagi gaji kakitangan awam, dan ia telah menimbulkan kemarahan orang ramai.
Greece juga telah memohon pakej bantuan kewangan kecemasan yang melibatkan penyertaan European Union, European Central Bank (ECB) dan International Monetary Fund (IMF). Selepas itu adalah rentetan-rentetan pinjaman dan bailout dari luar negara dan kegagalan untuk membayarnya yang telah menyebabkan Greece mengalami bankrapsi.
Untuk rekod, hutang Greece pernah mencapai lebih 70 peratus melibatkan Hutang Luar Negara. 60 peratus sahaja daripada hutang mereka adalah dengan negara-negara Euro (Eurozone) yang berjumlah sekitar €141.8 billion, 10 peratus daripadanya ialah dengan IMF dan juga 6 peratus dengan European Central Bank. Selebihnya barulah melibatkan agensi dan bank dalam negara.
Kenapa Jepun boleh memiliki hutang mencecah 200% KDNK tapi masih tak bankrap?
Kerana hutang Jepun adalah terdiri daripada bon-bon yang diterbitkan oleh kerajaan kepada pelabur selain hutang dengan bank-bank dan institut tempatan. Kiranya hutang Jepun adalah hutang rakyatnya.
Macam mana agaknya negara bankrap?
Negara bankrap tidak seperti isi rumah bankrap. Kalau sebuah negara bankrap, ia bukanlah melibatkan operasi merampas harta atau aset-aset dalam sebuah negara. Sebaliknya ia akan melibatkan pengumuman seperti sebuah negara default tidak mampu membayar hutang oleh badan kewangan tertentu. Selepas itu, apa yang akan berlaku? Sebuah negara harus berunding semula dengan para pemegang bon-bon tentang syarat-syarat baru untuk membolehkan wang aliran masuk ke dalam sebuah negara.
Untuk rekod, negara seperti Argentina dahulu pernah bankrap pada tahun 2002. Jadi, apa yang berlaku kepada Argentina? Mata wang runtuh, pelabur lari dari negara, syarikat-syarikat dan agensi kerajaan tidak dapat berfungsi, stok makanan kehabisan, serta rusuhan-rusuhan yang membawa kepada darurat. Ini berlaku apabila aliran kewangan tiba-tiba berhenti dalam sebuah negara apabila sebuah negara menjadi default membayar hutang mereka.
Kita ada hutang. Apa rakyat perlu buat?
Mengikut definisi baru hutang dan liabiliti kerajaan, PTPTN yang merupakan contigent liability atau hutang jaminan kerajaan adalah sebahagian dari 1.08 trillion. Maka bayarlah. Jadi rakyat bertanggungjawab.
Apabila rakyat menangguhkan pembayaran, ia juga membawa maksud rakyat menambahkan hutang negara. Seterusnya, rakyat juga harus membayar cukai, tidak lari daripadanya. Rakyat juga seharusnya memberikan sokongan kepada kerajaan menarik balik janji untuk memberi penangguhan bayaran PTPTN bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 ke atas.
Kita ada hutang. Apa kerajaan perlu buat?
Memastikan kita mampu membayar hutang para pelabur apabila tempoh matang bon sudah tiba berserta dengan faedah-faedahnya. Seterusnya, kerajaan perlu berterusan memberikan keyakinan kepada pelabur untuk terus membeli bon negara dan melabur ke dalam negara. Akhir sekali, kerajaan juga boleh menguruskan negara dengan baik demi mendapat kredit tinggi daripada agensi kewangan. Cadangan kami adalah dengan menghapuskan manifesto penangguhan PTPTN sebagai permulaan kepada operasi berjimat cermat hutang negara.
Bagaimanakah nak melangsaikan semua hutang menjadikannya sifar?
Sebuah kerajaan bukanlah matlamatnya untuk mencapai hutang sifar seperti isi rumah. Ini kerana terdapat hutang negara yang merupakan aset kerajaan swasta. Apabila menjadikan hutang negara sifar, ia bermaksud agensi-agensi dan syarikat swasta di Malaysia tidak mempunyai cashflow. Bahkan kalau hutang turun mendadak, terdapat sekolah ekonomi seperti Keynesian berpendapat akan menyumbangkan sebuah negara ke krisis kewangan.
Ia juga memberikan gambaran seolah-olah keadaan kewangan negara kita sangat teruk sehingga tidak ada yang mahu membeli bon terbitan negara. Ia juga memberitahu bahawa tiada rakyat Malaysia yang menyimpan dalam bank, KWSP, dan pelbagai lagi. Pendek kata, ia memberitahu kita bahawa tiada aktiviti ekonomi berlaku dalam negara.
Lagipun terdapat negara yang mempunyai hutang lebih rendah daripada negara kita, tetapi keadaan ekonomi mereka jauh lebih teruk berbanding Malaysia. Hutang negara seperti Afghanistan dan Bangladesh, peratusannya adalah lebih rendah dari Malaysia. Afghanistan mencatatkan hanya 7% daripada KDNK mereka manakala Bangladesh ialah 27.1% daripada KDNK mereka.
Ini bermaksud hutang rendah bukanlah indikator sebuah negara maju ekonomi terbaik. Kesimpulan paling ringkas ialah, dalam sistem ekonomi di Malaysia, no debtbermaksud no growth.
Apa rekod sejarah hutang kita?
Kita tidak pernah default dalam membayar hutang. Tetapi hutang negara kita pernah cecah 103.4% di bawah pemerintahan Tun Mahathir pada tahun 1986. Hutang kita hari ini adalah sekitar 50.8 % daripada KDNK, kira-kira separuh daripada angka 103.4%. Angka pada tahun 1986 merupakan yang tertinggi dalam sejarah Malaysia setakat ini. Kalau diambil sekalipun angka 1 trillion yang digembar-gemburkan pun, ia sekadar sekitar 80 peratus daripada KDNK negara kita sekarang.
Macam mana nak baca nilai angka hutang negara?
Kita tidak boleh melihat pada angkanya sahaja tetapi harus dilihat pada peratusan daripada KDNK. Sebagai contoh angka 686 Billion itu harus dilihat pada peratusan ia mewakili pendapatan negara. Analoginya, A mempunyai hutang setinggi RM7,000 manakala B pula berhutang setinggi RM3,000. Namun, pendapatan A mencecah RM14,000 manakala pendapatan B pula sekadar RM3,500. Tentulah keadaan kewangan A lebih baik berbanding B. Ini menunjukkan angka sahaja tidak cukup dalam menilai sebuah hutang negara. Angka hutang bukanlah ‘absolute’ tetapi ‘relative’, bergantung kepada beberapa faktor lagi selain dikira peratusannya daripada pendapatan negara.
Kenapa nak membenci Tabung Harapan? Ia satu inisiatif patriotik untuk rakyat.
Perbuatan menderma wang kepada negara dan kerajaan adalah sebuah sifat patriotik. Ia boleh disamakan dengan sikap rakyat Korea Selatan yang meminjamkan wang dan barang kemas kepada kerajaan mereka ketika krisis kewangan 1997 dahulu. Tetapi malangnya situasinya tidak sama antara Malaysia dan Korea Selatan sekarang apabila bentuk hutang yang diperkatakan juga berbeza.
Malaysia tidak terikat pada hutang dengan agensi kewangan asing seperti IMF, sebaliknya kebanyakan hutang dalam bentuk bon dan setiap bon terdapat tempoh matang untuk dilunaskan bayarannya. IMF pula memberi pinjaman berbentuk mata wang kepada Korea Selatan untuk menyelamatkan negara mereka ketika krisis kewangan dahulu.
Justeru, kami berpendapat bahawa adalah tidak pratikal kewujudan Tabung Harapan ini berbanding langkah-langkah penjimatan kerajaan yang lain. Sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk membayar bon.
Sebagai contoh, kerajaan boleh sahaja menerbitkan bon yang lain semata-mata mahu membayar bon yang sudah tamat tempoh. Hanya perlu membayar faedah sahaja. Kitaran ini boleh berterusan sehinggalah kiamat kerana hayat kerajaan itu adalah berbeza dengan hayat isi rumah.
Berapa kadar nilai hutang yang ideal?
Negara Malaysia meletakkan bahawa hutang kerajaan tidak boleh melebihi 55% daripada KDNK . Walaubagaimanapon 55% yang dimaksudkan adalah merujuk kepada MGS , GII dan Islamic treasury Bills sahaja bukan jumlah keseluruhan hutang negara. Boleh rujuk Govt Funding Act 1983 dan Loan (Local) Amended Act 2005. Untuk hutang luar amaun maksima yang dibenarkan ialah RM35 billion boleh rujuk External Loan Act 1963.
Kenapa nak berhutang? Kita kan jana pendapatan sendiri. Gunalah hasil kita.
Hutang juga adalah bentuk pendapatan kerajaan sebenarnya disamping kebergantungan pada cukai, perdagangan, pasaran saham dan juga hasil bumi. Adalah sebuah kerajaan yang bagus apabila mampu untuk mempelbagaikan sumber pendapatannya.
Lihatlah apa yang berlaku pada Venezuela yang terlalu bergantung pada hasil minyak semata-mata demi membayar subsidi dan ketirisan yang berlaku, akhirnya membawa negara mereka ke hyperinlfasi yang terlalu tinggi.
Sungguh lengkap penjelasan yang diberikan oleh portal berkenaan mengenai persoalan yang timbul dari orang ramai selepas diumumkan bahawa hutang negara mencecah RM1 trilion.
Ya, hutang negara sememangnya mencecah jumlah itu kerana dikira sekali dengan liabiliti luar jangka. Bagaimanapun, hanya Malaysia sahaja yang mengira liabiliti dalam hutang negara.
Negara-negara lain yang turut menggunakan SDSS tidak pernah memasukkan tanggungan luar jangka sebagai jumlah keseluruhan hutang negara.
Jadi apa sebenarnya objektif PH dalam mengira bersama liabiliti luar jangka ini dalam jumlah hutang negara?
Mungkin ini sahaja cara Ah Long untuk menipu rakyat Malaysia dan dalam masa memburukkan kerajaan terdahulu di bawah Najib dan BN.
0 comments:
Post a Comment