Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, January 29, 2018

[PEKAN] MESTI RUJUK KLINIK KERAJAAN


Mesti rujuk klinik kerajaan


Kementerian Kesihatan sedang dalam proses perundangan terhadap sebuah klinik swasta di Kuching, Sarawak selepas ia gagal merujuk kes seorang lelaki digigit anjing ke hospital atau klinik kerajaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, ia merujuk kes baharu membabitkan rabies manusia yang dikesan pada 26 Januari lalu melibatkan seorang lelaki berusia 59 tahun dari Jalan Batu Kawa-Matang yang digigit anjing, 27 November tahun lalu.

Menurutnya, pengamal perubatan di klinik dan hospital swasta diminta mematuhi Garis Panduan Pengendalian Kes Gigitan Anjing dan Haiwan Lain termasuk merujuk mangsa ke fasiliti kesihatan kerajaan.

“Wajib laporkan kepada klinik atau hospital kerajaan jika menerima kes sebegini. Jika tak laporkan ia adalah kesalahan undang-undang.

“Orang ramai juga perlu membuat tindakan sama untuk dapatkan rawatan dan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena program Tautan Kasih dan Jururawat Masuk Kampung bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Runchang, Pekan di sini.

Turut hadir Adun Bebar, Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Seramai 300 pelatih jururawat terlibat dalam program bersama komuniti memberikan penerangan dan pendidikan kesihatan di perkampungan tersebut.

Sementara itu, Hilmi turut menyentuh berkenaan lambakan jualan ubat di atas talian yang didakwa dapat mengubati pelbagai penyakit kritikal.

“Penjual sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap pengguna dan relevan mengenai keupayaan produk mereka membantu pesakit-pesakit kronik.

“Jangan menipu pengguna semata-mata demi keuntungan,” katanya.

Katanya, semua penjual ubat secara atas talian perlu peka mengenai keperluan menjalani proses melibatkan pengesahan dan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ia diiklankan.

“Pengguna pula boleh periksa status sesuatu produk di laman sesawang Lembaga Iklan Ubat bagi mengetahui status kelulusan sesuatu ubat yang hendak dibeli,” katanya.


0 comments:

share2