Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 2, 2017

MEDAN BAKAR SEMANGAT AHLI UMNO







PERHIMPUNAN Agung UMNO 2017 selama lima hari bermula 5 Disember ini adalah yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ia dilihat sebagai medan persiapan penting kepada UMNO yang menunjangi kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi berdepan pilihan raya tersebut untuk terus menerajui pentadbiran negara.

Bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob yang kaya dengan pengalaman dalam parti termasuk empat kali mengetuai jentera pilihan raya umum peringkat negeri dan lima kali berdepan pilihan raya kecil, Perhimpunan Agung UMNO kali ini menjadi medan terpenting dalam membakar semangat perjuangan ahli-ahli parti terbesar orang Melayu itu.

Beliau turut mengingatkan wakil atau jurucakap negeri dan sayap supaya memanfaatkan sepenuhnya pentas perhimpunan agung tersebut untuk menyatakan sokongan kepada Presiden selain tidak perlu takut untuk membincangkan isu yang menjadi kontroversi secara terbuka.

Ikuti sedutan temu bual antara beliau dengan petugas agensi media yang turut disertai wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan jurufoto, MAHATHIR ALI di Kuantan, kelmarin.

UTUSAN: Bagaimana ahli UMNO dan perwakilan perlu melihat kepentingan perhimpunan kali ini?

ADNAN: Perhimpunan kali ini mesti menunjukkan sesuatu yang luar biasa sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Semua perwakilan perlu menunjukkan kesepa­duan dan yang penting semangat mesti ditingkatkan untuk menghadapi pilihan raya ini. Jika tiada semangat, kita akan berdepan masalah untuk menggerakkan jentera di peringkat bawah.

Keduanya, semua perwakilan yang melambangkan UMNO itu sendiri perlu memperlihatkan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden parti. Sokongan ini boleh dizahirkan menerusi ikrar dan dalam ucapan wakil negeri dan sayap termasuk mematuhi keputusan Presiden dalam menentukan calon yang akan bertanding pada PRU-14.

Bagaimana wakil atau jurucakap negeri atau sayap perlu menggunakan pentas perhimpunan ini?

Mereka tidak perlu takut untuk bercakap kerana Perhimpunan Agung UMNO ini adalah pentas terbuka, tiada ‘bodek-bodek’. Walaupun kita mengkritik tetapi akhirnya tetap menyatakan sokongan kepada Presiden. Kritikan kita, kalau ada, adalah untuk kebaikan dan setahu saya, Presiden UMNO adalah seorang yang bertoleransi dengan boleh mene­rima kritikan serta pandangan.



Apakah fokus yang perlu diberikan?

Jurucakap atau wakil setiap negeri dan sayap mesti membahaskan perkara yang nampak kontroversi yang menjadi isu secara terbuka. Umpamanya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dikatakan sebagai merasuah rakyat. Di samping itu, kita kena menggunakan kekuatan Bajet 2018 untuk menunjukkan bahawa kerajaan prihatin.

Saya berpendapat projek besar tidak perlu dibincangkan sangat, sebaliknya menumpukan kepada peruntukan dan rancangan untuk membantu golongan tertentu se­perti petani, nelayan, pelajar serta golongan miskin bagi menunjukkan UMNO adalah parti yang prihatin terhadap kehendak rakyat. Begitu juga dengan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST). Pembahas sewajarnya mengambil pendekatan dengan menunjukkan bahawa GST selain daripada memberi pendapatan dari segi cukai, ia merupakan penyelamat kepada belanjawan negara.

Bagi Badan Perhubungan UMNO Pahang sendiri, ke arah mana atau apakah mesej yang akan dibawa dalam perhimpunan kali ini?

Kita akan memberi penekanan untuk membincangkan isu yang kontroversi yang dijawab secara logik. Pada masa sama, kita akan mempertahankan parti dan Presiden.

Apakah harapan Dato' Sri?

Kita menunggu isi ucapan daripada semua kepemimpinan ter­tinggi UMNO termasuk daripada sayap-sayap parti. Paling penting adalah ucapan dan amanat Pre­siden UMNO itu sendiri yang akan memberi kita semangat serta me­nunjukkan keyakinan beliau mengemudi parti menghadapi PRU-14. Yang pen­ting, Presiden me­nunjukkan bahawa kerajaan berto­leransi dan menerima teguran. Kita tidak perlu mengambil berat terhadap tuduhan tidak berasas de­ngan Presiden menunjukkan adalah mem­bazir masa melayan ini semua.


0 comments:

share2