Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 4, 2017

[JERANTUT] 'PERASAAN TAKUT HANYA ALLAH TAHU'


‘Perasaan takut hanya ALLAH tahu’


Sepasang suami isteri warga emas tidak mampu menggambarkan ketakutan yang terpaksa mereka hadapi saat terdengar kehadiran sekumpulan gajah menghampiri rumah mereka di Kampung Paya Garuk di sini, malam kelmarin.

Namun, Mat Rashid Mat Dahari, 68, dan isterini Rohani Daud, 54, hanya mampu memberitahu, mereka cemas sehingga tidak dapat melelapkan mata kerana seluruh badan menggeletar dan hampir menangis ketakutan.

Dikatakan kumpulan gajah liar terbabit mula memasuki kawasan Kampung Paya Garuk seawal sekitar jam 7 malam kelmarin dan bergerak keluar ke hutan berhampiran sekitar jam 5 pagi, semalam.

Mat Rashid berkata, sekumpulan belia kampung sekitar 15 orang telah turun padang membantu menghalau kumpulan gajah liar itu dengan cara membaling mercun.

“Salah seorang daripada mereka ada membilang kumpulan gajah liar itu. Mereka kata ada lebih 20 ekor termasuk anak gajah,” katanya.

Difahamkan jumlah berkenaan adalah yang paling banyak menyerang kampung ini dan kawasan rumah Mat Rashid setakat ini sejak tahun lalu.

“Biasanya paling banyak adalah sekitar enam ekor. Kali ini jumlahnya lebih banyak. Dengan bunyi yang kuat dan bising membuatkan pakcik dan isteri tidak dapat tidur kerana terlalu takut,” katanya.
Terpaksa tidur di beranda

Rohani pula berkata, dia dan suaminya terpaksa tidur di beranda rumah selain sentiasa memastikan telefon bimbit berada di tangan bagi memudahkan mereka membuat panggilan kepada pihak Jabatan Perhilitan dan kumpulan belia yang bertindak menghalau kumpulan gajah liar itu.


Keadaan pondok milik Mat Rashid yang dirosakkan kumpulan gajah liar itu.


“Sementara mereka halau gajah liar ke kawasan lain. Kami tunggu di rumah dan berjaga-jaga. Tak lama lepas tu, makcik dengar bunyi bising kumpulan gajah liar itu dan segera buat panggilan telefon. Perasaan takut hanya ALLAH yang tahu,” katanya.

Rohani dan suaminya bagaimanapun, bersyukur kerana kumpulan gajah liar itu tidak menghampiri rumah mereka sebaliknya berada di kawasan pondok dan kebun yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

Runsing fikir masalah gajah

Keesokan paginya, setelah memastikan kumpulan gajah liar itu berada jauh daripada kedudukan mereka, Mat Rashid meninjau keadaan sekitar kebunnya dan mendapati sebatang pokok kelapa telah ditumbangkan selain berlaku kerosakan kecil berhampiran pondok kebunnya.

“Salah satu daripada sekitar empat unit lampu biru yang sepatutnya berfungsi untuk menghalau kumpulan gajah liar itu juga telah ditanggalkan dan dipijak sehingga rosak,” katanya.


Lampu biru yang dipasang untuk menghalau gajah liar daripada menghampiri kawasan rumah Mat Rashid.


Mat Rashid yang mempunyai masalah pendengaran berharap masalah terbabit diselesaikan segera agar dia dan isterinya dapat kembali tidur lena.

“Baru je lebih kurang dua minggu kami diganggu gajah liar. Kali ini, ia datang lagi ganggu kami. Kalau ikutkan hati, nak je pindah rumah ni dan cari tanah lain, tapi pakcik dan makcik dah tak ada tenaga nak berpindah.

“Pakcik selalu runsing mengenangkan kalau masalah ni masih berterusan. Kalau pakcik dah tak ada nanti, macam mana pula keadaan isteri pakcik. Nak duduk rumah anak, faham-faham sajalah... Selesa lagi duduk rumah sendiri,” katanya.
20 pokok getah rosak

Difahamkan anggota dari Jabatan Perhilitan turut hadir bagi membantu menghalau kumpulan gajah liar itu dari mengganggu kawasan penduduk.

Mat Rashid justeru itu merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak Jabatan Perhilitan yang sentiasa bertindak pantas dan mengambil berat masalah yang dihadapi penduduk kampung itu.


Pokok nangka madu yang sedang dalam proses membesar telah dimusnahkan kumpulan gajah terbabit.


Dalam pada itu, sebanyak sekitar 20 batang pokok getah telah dirosakkan kumpulan gajah liar itu sekali gus mendatangkan kerugian buat pemiliknya, Rokiah Jaafar, 58.

Pokok getah yang dikatakan sudah mula ditoreh dan memberikan hasil itu telah ditumbangkan kumpulan gajah liar terbabit di mana kejadian hanya disedari pagi semalam.


0 comments:

share2