NGO Malaysia yang memasuki Bangladesh dalam misi kemanusiaan membantu pelarian Rohingya menggesa campur tangan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan visa khas dari negara itu bagi melancarkan misi bantuan di sana.
Pengerusi Persatuan ProgramCeria Al-I'tisam M.Shah Sapiei berkata, semua NGO Malaysia yang memasuki Bangladesh dalam misi bantuan pelarian Rohingya ketika ini hanya menggunakan visa pelancong atau visa perniagaan dan ia sudah tentu menyalahi undang-undang negara tersebut.
Menurutnya, ketiadaan visa khas untuk membantu pelarian Rohingya di sana sudah tentu menyukarkan misi bantuan kemanusiaan itu dan sukarelawan yang ada tidak boleh tinggal lama dan perlu berulang alik ke negara ini apabila tempoh visa tamat.
"Sebenarnya kita ada beratus NGO dari Malaysia yang bersedia membantu pelarian Rohingnya di sana tetapi akibat kesukaran masuk ke negara Bangladesh ramai yang membatalkan hasrat mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Himpunan Solidariti Untuk Rohingya dan solat hajat untuk etnik Rohingnya selepas Solat Jumaat di Masjid Baharu Temerloh di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Penganjur Himpunan Solidariti Untuk Rohingya, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli bersama wakil 13 NGO lain.
Pada majlis itu, Ridzuan turut menyaksikan sumbangan derma orang ramai kepada masjid dan kutipan khas untuk tabung Rohingya diserahkan kepada Al-I'tisam.
M.Shah berkata, Al-I'tisam sedang mengumpul dana RM500,000 bagi membeli kelengkapan khemah untuk 600 keluarga dan menyediakan makanan untuk 1,000 pelarian setiap hari selama dua bulan di sana namun jumlah itu baru separuh berjaya dikutip.
Beliau berkata, bagi tujuan itu pihaknya menggesa segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama di negara ini supaya menderma.
Katanya, keadaan pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh ketika ini sangat memilukan kerana mereka berkumpul di satu kawasan lapang tanpa sebarang kemudahan.
“Kita ke sana hanya bina khemah plastik bertiang buluh, itupun hanya untuk 600 keluarga. Saya difahamkan jumlah pelarian etnik Rohingya dari Myanmar yang melarikan diri ke Bangladesh mencecah 400,000 dalam masa 20 hari menjadikan pelarian di sana kini seramai 800,000.
"Kita cuba bantu mereka terutama ibu tunggal dan kanak-kanak yang berada di sana supaya dapat lebih selesa di kem pelarian tersebut. Kepada mereka yang ingin menghulurkan sumbangan secara terus boleh melayari laman web www.arp.org.my untuk keterangan lanjut," katanya.
0 comments:
Post a Comment