Pasangan suami isteri Faizunizam Abdul Ghani, 40, dan isteri, Nor Hasliza Misnin, 34, hanya mampu melahirkan rasa syukur apabila rumah pusaka yang didiami sekian lama dibina baharu.
Nor Hasliza berkata, rumah pusaka yang daif itu mengalami banyak kerosakan termasuk diserang anai-anai menyebabkan dinding dan lantai reput.
Menurutnya , atap rumah berkenaan turut bocor namun tidak mampu dibaiki.
"Kami tak mampu untuk baiki kerana pendapatan pun tidak seberapa. Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai manakala suami bekerja kampung ," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chengal Lempong, semalam.
Hadir merasmikan simbolik pembinaan rumah itu , Timbalan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota , Dato' Mazlan Mat Rashid.
Turut hadir, Pengerusi Biro Kesihatan, Kebajikan dan NGO Umno Bahagian Indera Mahkota, Dato' Dr Johan Mat Sah dan Pengurus Giat Mara Indera Mahkota, Zulkiflee Mohamad.
Keluarga tersebut terpilih dalam Projek Bantuan Rumah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang melayakkan rumah mereka dibina baru berikutan kerosakan rumah pusaka yang agak teruk.
Ibu kepada empat cahaya mata berusia 12 hingga setahun itu berkata , mereka menumpang di rumah saudara sementara rumah tersebut siap dibina.
Sementara itu, Mazlan berkata, projek bernilai RM56,000 itu akan siap dalam tempoh tiga bulan.
Beliau berkata , kerajaan melalui Giat Mara akan terus membantu golongan kurang berkemampuan melalui program berkenaan.
"Kita akan terus mengenal pasti rumah yang daif dan layak di Indera Mahkota bagi menerima bantuan di bawah program ini.
"Dalam masa yang sama , saya harap kontraktor yang bertanggungjawab dapat melaksanakan projek ini dengan baik," katanya.
0 comments:
Post a Comment