Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) yang baru beroperasi di Kemunting, di sini, semalam berjaya tampil sebagai pusat penyebaran ilmu dan maklumat terbesar dan tercanggih di kawasan pantai timur.
Pegawai Perhubungan Awam PPAP, Mohd Norshazlin Sa’adun Nazir berkata, dengan keluasan yang hebat lengkap dan moden membuktikan manisfestasi rakyat negeri ini yang inginkan sebuah perpustakaan terbaik serta mesra pengguna telah tercapai.
Katanya, perpustakaan itu menawarkan kemudahan serba lengkap untuk semua golongan mahupun peringkat umur termasuk menggunakan peralatan interaktif bagi memberikan kepuasan maksimum kepada pengunjungnya.
“Bangunan empat tingkat yang bernilai RM48 juta itu merupakan perpustakaan awam negeri terbesar dan tercanggih di pantai timur setakat ini dan mampu menampung sehingga 1,000 orang pengunjung dalam satu-satu masa.
“Berbeza dengan perpustakaan dahulu, setelah beroperasi sepenuhnya nanti kita akan ada panggung 3D di mana pengguna boleh menonton filem 3D dengan cermin mata khas yang disediakan.
“Kali ini terdapat juga studio jamming yang merupakan bilik aspirasi buat remaja dan bilik sumber media yang mana pengguna boleh mendengar, menonton filem secara bersendirian atau berkumpulan di perpustakaan ini,” katanya kepada pemberita dalam satu tinjauan singkat di hari pertama pembukaan PPAP, di sini, semalam.
Tinjauan Sinar Harian mendapati pada hari pada pertama pembukaan, kunjungan pembaca terdiri daripada murid prasekolah, pelajar sekolah dan orang awam adalah menggalakkan sehingga menjangkau hampir 400 orang.
Gading gajah jadi inspirasi seni bina
PPAP beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga jam 5 petang manakala Sabtu, Ahad dan cuti umum ditutup.
Selain kandungan bahan ilmiah lengkap dan canggih, ia mempunyai keunikannya tersendiri dengan seni bina luaran menyerupai gading gajah serta mengaplikasikan rekaan motif tenun yang merupakan salah satu warisan budaya kebanggaan Pahang di atas tanah seluas 1.6 hektar.
Dalam pada itu, katanya, PPAP akan dibuka kepada orang ramai secara berperingkat dan dijangka beroperasi sepenuhnya awal tahun hadapan.
“Setakat ini terdapat lebih 200,000 koleksi bahan bacaan dan akan meningkat lagi dari semasa ke semasa. Untuk satu tempoh jangka panjang PPAP boleh menampung sehingga 400,000 koleksi bahan bacaan.
“Di sini kita turut menawarkan pelbagai perkhidmatan lain yang lebih baik dan moden antaranya perkhidmatan wifi, koleksi tempatan dan koleksi digital, pinjaman antara perpustakaan melalui u-Pustaka, kafetaria, bilik perbincangan dan latihan dan makmal ICT.
“PPAP juga menyediakan ruangan santai khas untuk ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa membaca dan melakukan aktiviti bersama-sama. Segala susun atur dan penyediaan bahan bacaan serta aktiviti di sini telah dilakukan khas bagi menarik minat pembaca cilik ke sini,” katanya.
Teruja perubahan PPAP
Sementara itu, pengunjung, Ahmad Fazil Mohd Alias, 47, berkata, dia teruja dengan perkembangan PPAP yang banyak melakukan perubahan di bangunan baru ini.
Katanya, ia satu penambahbaikan yang berjaya mengikut peredaran masa selain menyediakan persekitaran mesra pengunjung.
“Banyak perkembangan baik tentang perpustakaan baru ini, dengan keluasan lebih besar mampu menempatkan lebih banyak sudut bacaan.
“Tambah menarik sudut-sudut sedia ada di perpustakaan lama telah dinaik taraf hingga membuatkan pembaca lebih teruja untuk ke sini dan lebih kerap lagi. Saya suka dengan sudut yang telah dinaik taraf seperti sudut kanak-kanak, bahan rujukan dan pusat warisan intelek negeri.
Ruang bacaan kanak-kanak yang dihias cantik dan mempesonakan.
“Tidak kurang juga untuk pembacaan dewasa dan lebih menarik apabila ketika berada di bahagian rujukan saya lihat ada banyak buku yang terkini sekali gus menarik untuk kita datang membuat rujukan dan sebagainya. Penduduk tempatan perlu ambil peluang ini untuk kita tingkatkan lagi ilmu pengetahuan kita,” katanya.
Manakala bagi Nur Hasyimah Abdul Yamin, 34, dia gembira dan berpuas hati dapat membawa keluarga berkunjung ke perpustakaan yang berwajah baru itu.
“Saya memang tak sangka hari ni (semalam) hari pertama pembukaan, Rasa lebih seronok bawa anak-anak ke sini berbanding di luar sana memandangkan tak kurang juga hebat dengan adanya Petrosains dan ruangan kanak-kanak yang cukup cantik.
“Tak rugi bawa anak-anak malah pengetahuan mereka akan lebih berkembang jika berada di sini,” katanya yang membawa anak-anak berumur antara satu setengah, dua dan lima tahun.
0 comments:
Post a Comment