Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 9, 2017

KESTABILAN GAMBARAN TERBAIK BN UNTUK TERUS PIMPIN NEGARA - NAJIB


NAJIB TUN RAZAK mengadakan sidang media selepas mempengerusikan


Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak percaya kekuatan serta kestabilan dalam Barisan Nasional (BN) akan terus memberi keyakinan kepada rakyat untuk parti tersebut memimpin negara.

Beliau yang juga Pengerusi BN yakin atas dasar berkenaan maka BN hari ini dapat terus memperkukuh persefahaman serta permuafakatan dalam soal pembahagian kerusi di kalangan rakan parti-parti komponen.

“Salah satu kekuatan BN secara tradisi adalah bahawa kita merupakan satu pakatan kukuh serta stabil dan tidaklah seperti pembangkang yang mana mereka seringkali membuat kenyataan dan pendirian yang bercanggah antara satu dengan yang lain sehingga kita tidak tahu siapa yang sebenarnya menjadi ketua kepada pakatan pembangkang.

“Dan keduanya mereka asyik mengubah pendirian dalam banyak isu… tengok kepada keadaan dari semasa ke semasa. Kekuatan BN ini saya yakin akan memberi gambaran dan imej kepada rakyat bahawa kita merupakan pakatan yang lebih mampan untuk terus memimpin negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, di sini, semalam.

Dato' Sri Najib seterusnya berkata, secara umumnya kerjasama dan persiapan dilakukan oleh setiap parti komponen BN semakin baik dan masih ada ruang lagi untuk ditingkatkan.

“Dewan Tertinggi BN turut megambil maklum soal ekonomi termasuk kadar pertumbuhan suku kedua tahun ini yang mencecah 5.8 peratus dan rizab antarabangsa kita yang mencecah jumlah yang terbesar dalam sejarah kita.

“Dan juga sehari dua ini kita lihat pengukuhan ringgit yang semakin jelas dan ini menunjukkan bahawa dasar-dasar kita berada di landasan yang betul dan memberi impak serta momentum yang positif kepada ekonomi negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dato' Sri Najib turut mengulangi pendirian akan terus perjuang isu Rohingya yang dianggap sebagai isu kemanusiaan dan bukannya isu keagamaan.

“Dan pendirian BN jelas dalam soal ini dan kita ambil kira bahawa ada demonstrasi yang aman diadakan pada hari ini dan kita juga akan kemukakan pendirian kita daripada rakyat…, akan turut ambil kira dalam ASEAN dan juga forum-forum di UN serta OIC dan sebagainya.

“Esok saya akan lancarkan misi kemanusiaan yang diluluskan kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan dan kita akan beri bantuan terus kepada pelarian dan berpusat di Bangladesh. Kita telah pun mendapat kelulusan kerajaan Bangladesh untuk melakukan misi tersebut,”katanya.

Dalam pada itu, Dato' Sri Najib turut memaklumkan Dewan Tertinggi BN juga turut mengucapkan tahniah atas kejayaan atlet negara dalam sukan SEA dan juga 60 tahun kemerdekaan serta kesan positif pelancaran MRT.


0 comments:

share2