Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 6, 2017

[BERA] USIA NORDIN 104 TAHUN


Usia Nordin 104 tahun


Seorang warga emas yang merupakan bekas anggota SC (special constabulary) dipercayai mungkin individu tertua di daerah Bera apabila tarikh lahir yang tercatat pada kad pengenalannya bertarikh 9 April 1913.

Nordin Mat Piah, 104, ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Bohor Bahru di sini, kelihatan masih sihat dan mampu menguruskan dirinya sendiri, ditemani isteri, Peah Hussin, 94.

Bagaimanapun, Nordin dan Peah yang mengalami masalah pendengaran sukar mendengar setiap soalan diajukan, melainkan perlu bercakap kuat sambil dibantu cucunya, Hafizam Mohd Seh, 25 yang turut berada ketika itu.

“Kalau ikut, umur dah 109 tapi lambat daftar. Yelah, zaman dulu-dulu kan, bukannya senang. Dulu pakcik SC. Masa zaman penjajahan. Susah dulu, semua benda nak buat kena bertahan. Orang putih (British), Jepun, macam-macam lah kena hadap,” kata Nordin.

Menurut Hafizam, pada usia emas itu, datuknya masih mengingati setiap perkara yang berlaku pada dirinya dan akan bercerita mengenai pengalaman atau peristiwa yang berlaku pada zaman mudanya walaupun tanpa ditanya.

Katanya, meskipun datuknya merupakan SC, namun itu tidak lagi dapat dibuktikan berikutan dokumen berkaitan hilang akibat banjir besar sebelum ini.

“Banyak dokumen hilang sebab banjir besar dulu. Lepas tu, terpaksa pula berpindah rumah sebab kawasan rumah dulu kerap naik air. Ni yang duduk di sini, kampung perpindahan mangsa banjir.

“Datuk dan nenek tinggal bersama bapa saudara di rumah ni, tapi saya atau ahli keluarga lain akan selalu datang menjenguk kalau dia pergi kerja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung, Mohd Yusoh Ibrahim memberitahu, pihaknya kerap memantau keadaan penduduk di sini termasuk Nordin dan Peah dengan memastikan mereka tidak ketinggalan menerima bantuan sewajarnya.

Katanya, Nordin dan Peah masih sihat dan tidak mengidap sebarang penyakit melainkan menghadapi masalah pendengaran dan penglihatan.

“Cuma baru-baru ni, Peah terjatuh menyebabkan dia tak boleh berjalan. Dia hanya mengengsot dan tak mahu sesiapa tolong," katanya.

Dipercayai, Nordin juga adalah bekas guru silat yang terkenal dan mempunyai anak murid yang masih mengekalkan pencak silat yang diperturunkan.


0 comments:

share2