Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 2, 2017

OKU DICEKUP EDAR DADAH


OKU dicekup edar dadah


Jitra - Seorang lelaki yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dipercayai tokan dadah antara yang ditahan bersama 100 individu dalam Ops Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah di sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Lelaki berusia 42 tahun itu bagaimanapun tidak mengaku bahawa dia terlibat dalam aktiviti membekalkan dadah kepada penagih di kawasan terbabit.

“Saya mengaku saya ambil dadah sejak dua tahun lalu, tapi saya tidak pernah mengedar dadah, apatah lagi memberi anak isteri saya makan duit hasil dadah.

“Saya hisap dadah sebab nak seronok saja, kalau boleh lepas ni tak mau ambil dah,” katanya yang memperuntukkan RM10 sehari untuk mendapatkan bekalan dan kudung kedua-dua kaki sejak lahir.

Sementara itu, seorang lelaki naik berang apabila tiga daripada adik-beradiknya ditahan AADK di rumah mereka kerana dipercayai terlibat dalam penagihan dadah.

Lelaki berusia 28 tahun itu yang merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik baru pulang dari sawah ketika penguat kuasa AADK sedang menyoal siasat abang dan adik-adiknya di halaman rumah.




Abdul Rahman (duduk,kiri) bersama Pengarah AADK Kedah, Mohammad Nazer Mustafa (duduk, kanan) menyoal siasat seorang lelaki OKU yang ditahan.

Dia yang berang dan tidak dapat menahan marah, meluru ke arah mereka dan bertindak menampar pipi adik bongsunya.

Keadaan bertambah kelam kabut apabila salah seorang abangnya diserang sawan secara tiba-tiba selepas melihat situasi berkenaan.

“Saya geram, kerja tak nak buat, puas suruh.... baru nak buat. Lepas itu, hisap dadah pula,” katanya yang kecewa dengan sikap adik-beradiknya.

Menurutnya, dia tidak tahu sejak bila adik-beradiknya terlibat dalam aktiviti tidak bermoral itu.

“Mereka tidak pernah mencuri wang saya atau ibu. Mereka dapat wang pun hasil daripada kerja-kerja kampung seperti mengambil upah membawa trektar,” katanya.
Operasi bendung gejala dadah

Pengarah (Pencegahan) AADK, Abdul Rahman Hamid ketika ditemui berkata, Ops Cegah berkenaan disertai oleh pasukan penguat kuasa dari AADK Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Unit Anti dadah Sempadan dan ibu pejabat yang bermula dari jam 4.30 petang hingga awal pagi.

“Operasi ini tertumpu di kawasan yang kerap menjadi sarang penagihan dadah.

“Sehingga awal pagi, seramai 100 individu berusia antara 16 hingga 45 tahun ditahan untuk pemeriksaan termasuk seorang wanita berusia 21 tahun,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 67 disahkan positif dadah setelah menjalani pemeriksaan ujian saringan air kencing.

“Manakala mereka yang negatif ujian dadah itu dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, operasi berkenaan bertujuan untuk membendung masalah penagihan dadah di daerah ini dalam usaha mengurangkan penagih dadah di Malaysia.

“Terdapat suatu trend baru di mana penagih mencampurkan antara dadah konvensional dan sintetik untuk mendapat kepuasan yang lebih maksimum.

“Kalau dulu dadah sintetik ini adalah dadah yang lebih mengkhayalkan, tetapi sekarang dadah yang mengkhayalkan di campur dengan dadah sintetik dan konvensional,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini aktiviti pengedaran dadah di Kedah masih tertumpu di lokasi atau “port”. Belum ada penjualan dadah secara atas talian seperti melalui Whatsapp atau Wechat.

“Tetapi berbeza di Kuala Lumpur, yang kita dapati, memang ada penjualan secara atas talian.

“Sebab itu kami mengambil pendekatan menghapus sarang mereka serta menghapus permintaan dan penawaran,” katanya.

Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.


0 comments:

share2