Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 6, 2017

[BENTA] SUAMI ISTERI HIDAP SAKIT KRONIK


Suami isteri hidap sakit kronik


“Bulan Ogos 2015 saya kena serangan jantung dan terpaksa berhenti kerja. Lepas tu, tambah sedih bila isteri saya pula disahkan hidap kanser mulut tahap empat pada Januari 2016," demikian kata, R Murugese, 52, ketika menceritakan penderitaan hidup yang dihadapinya bersama isteri, R Anjela, 46, selepas masing-masing disahkan menghidap penyakit kronik.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, sebelum ini, dia bekerja mengangkat barang seperti baja dan simen di sekitar Lipis bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Namun, setelah terkena serangan jantung, Murugese tidak lagi boleh melakukan kerja berat.

Menurutnya, disebabkan penyakit tersebut kini dia tidak lagi berdaya untuk mencari rezeki dan hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 serta ihsan jiran tetangga.

“Belaja jadi tambah banyak sejak isteri saya hidap kanser mulut. Dia kena ulang alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kemoterapi dan radioterapi.

“Sekarang ini pun dia masih lagi di HKL selepas dimasukkan ke hospital sejak 2 Mei lepas. Kesihatannya makin merosot dan perlukan pemantauan rapi," katanya ketika menerima kunjungan Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar merangkap Adun Benta, Datuk Ir Mohd Soffi Abdul Razak yang hadir menyampaikan cek bantuan pesakit kronik sebanyak RM3,000 di kediaman Murugese di Ladang Benta di sini, semalam.

Menurutnya, dia runsing juga kerana tiga anak mereka masih belajar termasuk seorang yang menuntut di kolej.

Hadir sama Ketua MIC Bahagian Lipis, Datuk N Selvaraj.

Murugese berkata, dia melahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas keprihatinan pemimpin masyarakat yang sudi tampil menghulurkan bantuan kewangan berkenaan.

“Wang ini saya akan gunakan sebaiknya untuk rawatan isteri di HKL, selain belanja sekolah anak-anak," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Soffi berkata, bantuan kewangan kerajaan negeri diharap dapat meringankan beban keluarga yang kurang bernasib baik dalam menampung perbelanjaan harian mereka.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional sentiasa cakna dengan nasib yang menimpa golongan kurang upaya dan selalu membantu tanpa mengira musim.

Sementara itu, orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), Murugese a/l Rajagopal (0610629000012125).


0 comments:

share2