Seorang wanita Orang Asli di Kampung Inoi, di sini, terpaksa diterbangkan menggunakan helikopter dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kelmarin untuk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan bagi mendapatkan rawatan segera.
Pesakit, lijah Hassan, 21, dalam keadaan mengandung dan hendak bersalin namun tidak dapat dibawa keluar melalui jalan darat berikutan ada bahagian jalan yang masih dinaiki air akibat banjir baru-baru ini.
Terdapat jalan alternatif, namun keadaan muka bumi yang tidak rata merbahaya kepada nyawa pesakit dan anak kembar dalam kandungannya itu kerana gegaran boleh menyebabkan lebih pendarahan akibat komplikasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Penolong Penguasa Bomba, Aslam Hakim Abdullah berkata, disebabkan kekangan itu pihaknya mendapati hanya ada satu alternatif supaya pesakit dapat dibawa segera keluar iaitu melalui jalan udara.
Menurutnya, usaha membawa keluar itu bertambah sukar selepas difahamkan doktor perubatan yang bertugas di lokasi, bahawa pesakit mengalami pendarahan dan tidak boleh menerima gegaran.
“Kita minta Pusat Kawasan Operasi Bencana (PKOB) cuba dapatkan bantuan Air Force, namun tetap bersedia untuk mencari alternatif lain sekiranya pasukan itu tidak dapat membantu.
“Selepas dimaklumkan bantuan penerbangan dapat diberikan, kita bersedia di lokasi bagi menentukan tempat yang sesuai untuk mendarat. Helikopter mendarat di kampung Inoi pada jam 5.20 petang, berlepas 10 minit kemudian sebelum mendarat di Padang Kamunting pada 5.53 petang,” katanya, semalam.
Tambahnya, selepas mendarat pesakit dibawa ke HTAA dengan menaiki ambulans, manakala suaminya pula mengikut jalan darat dari kampung ke Kuantan bagi menemani isterinya.
0 comments:
Post a Comment