Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 3, 2016

#PAU2016: BERI PELUANG PELAJAR TERLIBAT DALAM PAU LEBIH MULIA DARI MENGAJAK MEREKA KE JALANAN – ANNUAR MUSA





Kuala Lumpur - Ketua Penerangan UMNO Malaysia ,Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan UMNO membuka ruang dan peluang kepada para pelajar untuk merasai sendiri bagaimana perjalanan perhimpunan agung ini dilaksanakan merupakan satu inisiatif yang lebih baik berbanding membawa pelajar ke jalan raya dan menyertai perhimpunan.

Tambah beliau,pendedahan pelajar tentang perjalanan Perhimpunan Agung UMNO sebagai contohnya bagaimana sidang media yang melibatkan pimpinan tertinggi dilakukan, serta dapat bertemu secara langsung dengan pemimpin peringkat tertinggi merupakan usaha yang dapat memberikan pemahaman yang lebih baik kepada para pelajar yang terlibat.

“Pada saya, memberi peluang dan ruang untuk penglibatan kepada pelajar terlibat secara langsung di dalam perhimpunan agung ini adalah lebih mulia daripada membawa pelajar ke jalan raya ibarat, start shouting without thinking.

“Jadi pada saya, tidak menjadi satu masalah pada hari ini untuk kita melibatkan para pelajar dalam aktiviti atau program politik seperti ini berbanding semasa zaman pemerintahan Tun Dr.Mahathir di mana Akta Universiti dan Kolej 1974 diwujudkan yang tidak membenarkan pelajar terlibat langsung di dalam sebarang aktiviti politik.

“Apabila kita membenarkan pelajar aktif dalam berpolitik, mereka boleh mempelajari secara terus tentang proses usul dan bagaimana usul tersebut akhirnya menjadi dasar kerajaan yang dilakukan ketika perhimpunan agung ini,” katanya dalam satu sidang media di PWTC semalam.

Jelas Annuar lagi, punca mahasiswa seringkali tersalah tafsir berhubung proses pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan itu adalah kerana mereka tidak memahami bagaimana proses mengemukakan usul dan membuat undang-undang dilakukan.

“Oleh itu, saya menegaskan supaya bawalah lebih ramai mahasiswa untuk hadir ke perhimpunan agung UMNO termasuk parlimen kerana terlalu banyak ilmu yang boleh dipelajari di sini dan pengalaman yang dapat diperolehi di sini juga terlalu banyak dan bermanfaat untuk mereka.

“Saya menyertai kegiatan politik ini juga kerana telah diberi peluang untuk mengenali apa itu politik ini melalui UMNO. Jadi apabila lebih ramai mahasiswa UITM dan IPTA yang lainnya diberi peluang serta pendedahan untuk menyertai perhimpunan seperti ini,tidak mustahil lebih ramai mahasiswa dapat dipupuk minatnya untuk menjadi seorang ahli politik seperti saya,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Annuar melahirkan sedikit rasa dukacita berhubung jumlah penglibatan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2016 dan berharap ianya dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

Kata beliau, jumlah seramai 1000 orang yang menyertai PAU kali ini dianggap sebagai kecil berbanding dengan jumlah pelajar-pelajar di institusi pengajian tersebut.

“Saya berasa dukacita kerana jumlah yang terlibat di dalam PAU ini begitu kecil. Kita telah melahirkan pelajar-pelajar UITM dalam jumlah ratusan ribu jadi bagi saya sepatutnya jumlah mahasiswa yang terlibat mengambil bahagian di dalam kegiatan politik seperti perhimpunan yang diadakan ini lebih dari itu.

“Kalau boleh penyertaan pada perhimpunan seterusnya saya rasa perlu dipertingkatkan. Ini kerana adalah lebih baik kita mendidik anak kita dengan cara yang terurus dan memberi peluang untuk anak-anak muda ini untuk melihat bagaimana perhimpunan agung UMNO diadakan,” ujarnya.


0 comments:

share2