Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 30, 2016

[BENTONG] AIDILFITRI DISEBALIK TIRAI BESI

Image result for raya di penjara
Gambar Hiasan



Makna Aidilfitri bagi mereka yang menjalani hukuman di sebalik tirai besi pastinya tidak sama seperti insan lain.

Bagi mereka, kemeriahan hari raya tidak mampu dirasai bahkan menjadi satu lagi episod duka kerana terpaksa berpisah dengan anak-anak, suami atau isteri tercinta.

Menurut seorang banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Zam, 30, berkata, tahun ini adalah kali keempat dia menyambut Aidilfitri di penjara akibat kesalahan menyamun.

“Suasana serta sambutan hari raya dalam penjara jauh bezanya kerana di sini saya hanya beraya seorang diri. Kesedihan sedikit terubat apabila ahli-ahli keluarga datang melawat.

“Saya kesal akan kesilapan lalu dan akan menjalani hukuman yang masih berbaki dua tahun sebelum dibebaskan pada 2018 nanti.

“Saya nasihatkan anak muda jangan lakukan sesuatu terburu-buru tanpa berfikir terlebih dahulu, jika tidak akan menyesal kelak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan Jalinan Kasih Aidilfitri Banduan Penjara Bentong, di sini kelmarin.

Di penjara, Zam mengakui banyak mendalami ilmu agama. Dia banyak menyertai program pemulihan yang dianjurkan pihak penjara.

“Di sini kami diajar supaya melupakan kesalahan lepas. Pihak penjara beritahu, kesalahan lepas biarkan berlalu. Kami di sini untuk belajar dan menjadi orang baru...orang yang lebih berguna.

“Sejak saya di sini, saya berasa lebih tenang dan kehidupan lebih bermakna. Saya lebih menghargai keluarga saya dan orang lain di sekeliling. Kami di sini umpama sebuah keluarga besar. Rakan-rakan di sini banyak membantu dan membimbing saya ke arah yang lebih baik,” katanya lagi.

Seorang lagi banduan yang mahu dikenali sebagai Zalie, 36, berkata, dia bertekad ingin memulakan hidup baharu bersama anak-anaknya setelah dibebaskan dari penjara nanti.

Apabila bertanya mengenai sambutan Aidilfitri di penjara, Zalie menjelaskan, isterinya ada datang melawat bersama anak-anak dan kesempatan itu digunakan untuk bertanyakan khabar.

“Raya di penjara banyak bezanya, sayu bila dengar takbir dan lagu-lagu raya. Waktu itu hanya Tuhan yang tahu betapa hati meronta-ronta nak beraya dengan anak-anak dan isteri,” katanya.

Seorang lagi banduan yang mahu dikenali sebagai Ad, 39, berkata, selepas 14 tahun menjalani hukuman penjara kerana membunuh, dia akhirnya diberi kesempatan berjumpa ahli keluarganya.

“Jika sebelum ini, semasa takbir raya adalah saat paling sedih bagi saya tetapi pengalaman itu mengajar saya menjadi seorang yang penyabar dan lebih menghargai kebebasan.

“Sebagai manusia kita kena ada sifat memaafkan satu sama lain, jika selalu ikut hati inilah akibatnya, kita kena bayar dengan setiap kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu, Pengarah Penjara Pahang, Ab Basir Mohamad.

25 banduan terpilih layak jumpa keluarga

Sementara itu, Pengarah Penjara Bentong, Muhammad Zuki Muhammad Zain berkata, program itu menjadi wadah mengeratkan hubungan antara banduan dan ahli keluarga mereka sendiri.

“Dalam 120 banduan yang buat permohonan berjumpa dengan keluarga, hanya 25 banduan yang terpilih dan layak selepas penilaian prestasi dilakukan oleh pengurusan penjara.

“Mereka ini dipilih berdasarkan prestasi yang dinilai oleh fasilitator di mana mereka tidak melanggar peraturan penjara serta tiada tindakan tatatertib sepanjang tempoh penahanan.

“Kita beri peluang kepada banduan untuk luang masa dengan keluarga di mana mereka yang telah terpisah lama kerana hukuman yang telah dijatuhkan oleh pihak mahkamah. Inilah peluang untuk mereka berjumpa dan saling bermaafan di atas kekhilafan dan keterlanjuran perbuatan lalu," katanya.

Katanya, program itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat umum tentang program pemulihan yang dirancang Jabatan Penjara Malaysia.


Sumber


0 comments:

share2