Tabika Perpaduan Sri Jerkoh mengambil inisiatif membawa Pejabat Kesihatan Lipis untuk melakukan pemeriksaan ke atas kanak-kanak di Tabika berkenaan berikutan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di beberapa kawasan di seluruh negara.
Guru Tabika Perpaduan Sri Jerkoh, T Vasathadevi berkata, gejala HFMD yang menunjukkan peningkatan di seluruh negara sedikit sebanyak mencetuskan kebimbangan ibu bapa dan pengurusan sekolah.
Menurutnya, pemeriksaan tersebut dilakukan bagi memastikan kanak-kanak berkenaan bersih dan terhindar dari wabak HFMD.
“Pemeriksaan ini juga dapat memberi maklumat kepada murid dan guru mengenai simptom HFMD yang biasanya terlepas pandang seperti demam panas, sakit tekak, sakit kepala dan ulser mulut.
“Kita juga menghargai kerjasama Pejabat Kesihatan Lipis dalam usaha meningkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah dan mengawal penularan wabak ini” katanya sempena program berkenaan, di sini, kelmarin.
Guru, Siti Haryani Addullah berkata, pemeriksaan kesihatan tersebut dapat menyingkirkan sesetengah salah tanggapan, panik dan kekeliruan berkaitan ciri penyakit HFMD seperti mengaitkannya dengan penyakit kuku dan mulut (FMD) yang menyerang binatang ternakan seperti lembu serta biri-biri.
Menurutnya, penyakit HFMD boleh menjangkiti kanak-kanak dan di mana saja tanpa mengira kawasan geografi.
“Pemeriksaan ini dapat membantu kita dalam menggalakkan kanak-kanak Tabika membasuh tangan selepas ke tandas, bermain dan sebelum makan.
“Selain itu kita juga dapat memupuk amalan sentiasa menjaga kebersihan rumah dan persekitaran supaya terhindar dari penyakit ini,” katanya.

0 comments:
Post a Comment