Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 10, 2016

[TEMERLOH] REMAJA MANDI DALAM TANGKI AIR


Remaja mandi dalam tangki air


Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) digesa mengambil langkah keselamatan maksimum bagi membendung kegiatan remaja memecah masuk pagar dan mandi dalam tangki imbangan Charuk Puting, di sini.

Ahli Jawatankuasa Biro Keselamatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Lalang, Mohd Nasir Ishak berkata, kejadian pecah masuk di tangki imbangan itu berlaku pertengahan bulan lalu.

Menurutnya, perkara itu berlarutan selama beberapa hari, sehinggalah ditegur penduduk kampung dan aduan dibuat kepada Paip.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Paip kerana baiki pagar di sekeliling tangki yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab. Tetapi, pada masa sama kami tidak mahu perkara ini berulang.

“Penduduk kampung bimbang berlaku perkara tidak diingini kepada kumpulan remaja terbabit dan harap ada tindakan serta kawalan keselamatan lebih tinggi daripada Paip,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Batu 4, Abdul Wahab Kasim berkata, kejadian pecah masuk dan mandi dalam tangki air itu diadukan kepada pegawai Paip beberapa minggu lalu dan tindakan telah diambil pihak berkenaan.

Menurutnya, penduduk bimbang berlaku kejadian lemas atau kemalangan di kawasan terbabit yang sudah tentu menjadi satu isu besar dan ia perlu dicegah sebelum terlambat.

Katanya, pegawai terbabit telah memberikan respons segera selepas aduan dibuat dan beliau berharap pemantauan dilakukan kerana bimbang perkara itu berulang.

“Selain kejadian pecah masuk dalam pagar tangki air itu, terdapat beberapa kesan dipercayai kegiatan jenayah berlaku di kawasan sekitar dengan penemuan rangka motosikal di sebelah tangki air ini.

“Semasa siasatan kami di sini, ada sebuah rangka motosikal dibiarkan di luar pagar tangki air. Kawasan ini kemungkinan menjadi lokasi jenayah seperti curi motosikal dan dilupuskan di sini,” katanya.

Abdul Wahab berkata, beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan dengan melakukan siasatan berikutan penemuan rangka motosikal berhampiran tangki imbangan air itu.


0 comments:

share2