Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 13, 2016

USUL PEMBANGKANG GANTUNG SPEAKER DUN DITOLAK


Ngeh Koo Ham


Ipoh - Cubaan wakil pembangkang untuk membawa usul menggantung Speaker Dun Perak, Datuk Seri S.K Devamany tidak berhasil apabila ia ditolak.

Usul yang dibawa oleh ketua whip pembangkang, Datuk Ngeh Koo Ham itu adalah berkaitan dengan tindakan Devamany menggantung Adun Aulong daripada DAP, Leow Thye Yih selama sebulan daripada menghadiri persidangan Dun Perak berkuat kuasa 1 April.

Tindakan ke atas Thye Yih itu berkaitan tuduhannya yang mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengambil komisen daripada pemaju bagi projek hartanah di Taiping.

Devamany berkata, pihaknya menolak usul itu mengikut Peraturan Mesyuarat 17 kerana tidak mempunyai kepentingan awam, bukan perkara tertentu dan bukan perkara yang perlu disegerakan.

Menurut Devamany, usul pembangkang itu antara lain mencampur aduk dengan jawatan beliau sebagai Timbalan Presiden MIC.

Dalam sidang media kemudiannya, Devamany berkata, beliau bersedia sekiranya pihak pembangkang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atasnya termasuk saman.

"Ini (saman) bukan sesuatu yang baharu, terpulanglah kepada mereka," katanya.

Sementara itu, dalam satu sidang media lain, Zambry berkata ia merupakan hak pihak pembangkang untuk mengambil tindakan saman ke atas Devamany dan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah.

"Itu hak masing-masing, kita tak boleh tahan siapa-siapa. Macam saya nak saman Adun Aulong lah, itu hak saya. Saya juga mempunyai hak saya apabila saya dituduh.

"Saya lihat Speaker selaku anggota Persatuan Parlimen Komanwel mempunyai pengalaman baik dalam hal-hal berkaitan perjalanan dewan," katanya.

Zambry berkata kes penggantungan Thye Yih selama sebulan seharusnya dijadikan contoh kepada kesemua Adun sama ada di pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

"Tindakan ini bukan mempertahankan Menteri Besar, tapi soal aib yang dibuat dan kemudian dipraktis di dalam dewan. Ia soal tingkah laku ahli dewan.

Tuduhan yang begitu liar sifatnya dan kalau langkah-langkah tidak diambil untuk membendungnya, ia akan menjadi sesuatu yang serius," katanya.


0 comments:

share2