Telok Kemang – "Jarak pantai peranginan sekitar Port Dickson dengan Sungai Linggi jauh dan mustahil buaya boleh tersesat hingga ke sini," kata Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang, Md Isa Johar.
Md Isa berkata, jika ada buaya tersesat ketika berenang, jaraknya mungkin hanya satu ke dua kilometer ke kawasan laut dan selepas itu, haiwan berkenaan segera kembali ke habitat asal kerana buaya tidak boleh hidup lama dalam air masin.
Menurutnya, nelayan terutamanya di kawasan berhampiran dengan muara Sungai Linggi juga tidak pernah terserempak dengan buaya.
“Kalau nelayan sungai, memang ada nampak buaya sama ada haiwan itu sedang berenang ataupun sedang berjemur di tebing sungai, tapi haiwan itu tak pernah kacau manusia.
“Kalau buaya tu berenang sampai ke pantai peranginan memang mustahil sebab ia jauh, lebih 15 ke 20 kilometer jaraknya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemunculan seekor buaya di Pantai Puteri, Tanjung Kling Melaka, pagi kelmarin sehingga menggemparkan penduduk sekitar dan juga pengunjung pantai berkenaan.
Tambah Md Isa, beliau telah memaklumkan kepada ahlinya supaya segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya terserempak dengan haiwan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, sehingga kini, MPPD tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu.
"Namun kita sentiasa menempatkan petugas pengawasan pantai membuat pemantauan dengan sebuah bot dan jet ski terutamanya pada cuti hujung minggu ataupun cuti umum.
“Dalam masa sama, kegiatan pengunjung juga dipantau bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin serta untuk mengurangkan sebarang risiko berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.

0 comments:
Post a Comment