Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 15, 2016

TAKUT HUKUMAN MAKSIAT


Takut hukuman maksiat


SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menguji hamba-Nya dengan musibah agar mereka bertaubat kepada-Nya. Hendaklah kita bertakwa kepada ALLAH dan berwaspada terhadap azab-Nya.

Sungguh azab-Nya pedih. Jangan kita salah ertikan sifat ALLAH yang Maha Penyantun lagi Maha Penyabar. ALLAH menangguhkan buat kita untuk memberi ruang dan peluang. Sama sekali bukan kerana ALLAH lalai dan lupa.

Ketahuilah manusia ditimpakan musibah kerana dosa dan noda mereka serta dibalas dengan pahala dan ganjaran atas amalan soleh mereka.

Firman ALLAH: "Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan salah dan berdosa); dan ALLAH memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu." (Surah As-Syuura: 30)

Azab umat terdahulu

Betapa ramainya umat terdahulu dimusnahkan, betapa banyak negara musnah manakala nikmat dicabut dan diganti dengan azab disebabkan dosa maksiat.

Firman ALLAH: "Ini kerana sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dikurniakan-Nya kepada sesebuah kaum melainkan apabila mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri; dan (ingatlah) sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Anfaal: 53)

Kesusahan dan musibah yang menimpa kita secara individu sewajarnya menjadi teguran dan peringatan yang keras buat kita. ALLAH mengingatkan hamba-Nya supaya mengambil iktibar dengan apa yang menimpa mereka agar menilai kembali amal perbuatan dan memperbetulkan kesalahan-kesalahan mereka. Jika tidak, maka hukuman dan bala bencana yang menimpa orang lain akan turun menimpa diri mereka.

Firman ALLAH: "Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Padahal (umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain." (Surah Al-An'am: 6)

Ternyata sebelum kedatangan kita, telah wujud umat terdahulu yang ALLAH berikan mereka kekuatan dan tenaga di samping kekayaan dan kekuasaan. Tetapi apabila mereka menderhakai perintah ALLAH dan berpaling daripada suruhan-Nya, ALLAH timpakan atas mereka azab-Nya.

Firman ALLAH: "Kesudahannya rumah-rumah mereka runtuh ranap dengan sebab kezaliman mereka." (Surah An-Naml: 52)

Turun azab ALLAH

Azab ALLAH turun dalam pelbagai bentuk. Barangkali dalam skala besar sampai meranapkan sebuah negeri atau negara sebagaimana yang menimpa umat kafir dahulu dalam kalangan kaum Nabi Nuh AS dan kaum yang datang selepas mereka. Kisah mereka diceritakan dalam al-Quran.

Atau barangkali dalam bentuk skala kecil yang turun atas sebuah kabilah, keluarga atau orang perseorangan sebagaimana yang kita saksikan berlaku di sekeliling kita di mana kemalangan dan kecelakaan berlaku secara dahsyat dan mengejut.

Seperti gempa bumi yang memusnahkan sebuah bandar atau perkampungan yang menyebabkan ratusan atau ribuan nyawa hilang manakala yang lain hilang tempat tinggal tanpa makanan dan minuman. Akhirnya bangunan-bangunan tempat tinggal yang hancur roboh tinggal sunyi sepi tanpa penghuni.

Begitu juga peperangan yang melanda sesebuah tempat yang mengorbankan nyawa, tanaman dan binatang ternak, menjandakan wanita dan menyebabkan anak-anak menjadi yatim piatu manakala kehidupan seharian diselubungi ketakutan dan rasa cemas. 

Ataupun banjir besar yang meranapkan tempat tinggal, ladang tanaman dan hasil ternak. Kebakaran yang memusnahkan barangan berharga dan harta benda. Kemalangan kenderaan di jalan raya, udara atau di lautan yang mengorbankan penumpangnya.

Ataupun rumah tempat tinggal yang tak semena-mena roboh tanpa ada yang selamat kecuali sedikit. Barangkali mereka berhimpun di rumah tersebut untuk upacara tertentu bagi menyambut sesuatu yang menggembirakan mereka.

Tetapi dengan adanya maksiat yang dilakukan dalam upacara tersebut, perbuatan mereka mengundang azab ALLAH atas mereka. Akhirnya kegembiraan bertukar menjadi sedih manakala perhimpunan mereka pula berubah menjadi perpisahan.

Kesemua bentuk bala bencana ini ALLAH turunkan sebagai hukuman atas orangnya. Ia juga menjadi peringatan dan pengajaran buat mereka yang lain. Pepatah Arab menyebut: "Orang yang beruntung adalah orang yang mengambil pengajaran atas apa yang menimpa orang lain."

Dengan itu, wajib atas kita untuk menghindari perbuatan maksiat dalam upacara keramaian seperti majlis perkahwinan dan selainnya. Ia mengundang banyak mudarat seperti keluarnya wanita dari rumah mereka dalam keadaan tabarruj (menzahirkan segala kecantikan mereka sehingga mengundang fitnah kaum lelaki), berlakunya pergaulan bebas lelaki perempuan bukan mahram, di samping perkara-perkara lagha (perbuatan sia-sia yang melalaikan), yang menyebabkan solat tidak dijaga dan kemungkaran yang lain. Barangkali majlis tersebut diiringi alunan muzik dan nyanyian yang tidak diredai ALLAH. Perbuatan ini semua menyebabkan kerosakan akhlak dan tingkah laku. 

Pelihara agama, maruah dan harta

Adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk memelihara agama, maruah dan harta bendanya. Sekiranya diadakan sebuah majlis perkahwinan, cukup ia dilakukan di rumah pengantin lelaki atau perempuan dengan di undang saudara mara dan jiran tetangga sekeliling sahaja. Tiada keperluan untuk berlebih-lebihan. Majlis tersebut pula hendaklah bebas daripada maksiat atau apa sahaja yang bertentangan dengan agama. Ini bagi menjamin masyarakat Islam dapat berhimpun sesama mereka dalam suasana aman tenteram penuh keharmonian.

Terdapat sebahagian kelompok yang mentafsirkan kejadian bala musibah yang menimpa menerusi kaca mata zahir semata-mata. Mereka tidak menganggapnya sebagai hukuman daripada ALLAH yang menimpa akibat perbuatan dosa dan maksiat.

Sebaliknya mereka akan berkata: "Musim kemarau ini disebabkan oleh fenomena itu dan ini." "Kemalangan tersebut berpunca daripada cuaca buruk." "Kebakaran itu berlaku akibat litar pintas" dan seumpamanya.

Mereka sedaya upaya mendatangkan sebabnya yang boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Dalam masa yang sama mereka gagal melihat lebih jauh daripada itu di mana ia adalah takdir ALLAH yang berbentuk hukuman atas perbuatan menyalahi perintah-Nya atau melakukan apa yang dilarang-Nya.

Dengan sikap tersebut, ramai yang tidak mengambil pengajaran atas bala musibah yang menimpa. Sedangkan ALLAH berfirman: "Tidaklah Kami mengutus dalam sesebuah negeri seorang nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan dan penderitaan, supaya mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).

Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan sehingga mereka pulih kembali dan berkata (dengan angkuhnya): "Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah berasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)"; Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut dan mereka tidak menyedarinya." (Surah Al-A'raaf: 94-95)

ALLAH uji mereka dengan kesusahan dan kesenangan supaya mereka tunduk dan sedar. Ternyata mereka tidak mengambil pengajaran daripada kesusahan mahu pun kesenangan yang ALLAH timpakan atas mereka. Bahkan mereka beralasan kesusahan dan kesenangan yang menimpa mereka telah pun menimpa atas nenek moyang mereka dahulu.

Dengan erti kata lain, ia adalah suatu kebiasaan dan lumrah alam. Mereka tidak sedar bahawa ALLAH sedang menguji mereka. Akhirnya ALLAH mengatakan: "Lalu Kami timpakan mereka azab seksa secara mengejut tanpa mereka menyedarinya."

Ambil pengajaran

Tidak dinafikan, setiap sesuatu ada sebabnya yang boleh difahami menurut 'sains' dan seumpamanya. Tetapi hendaklah kita lihat juga kepada penyebab segala sebab iaitu ALLAH. Sekiranya ALLAH menghendaki sesuatu, Dia akan aturkan sebab musababnya yang mungkin sahaja zahir atau pun tersembunyi. Akhirnya segala sebab musabab itu tidak akan berlaku kecuali dengan izin dan takdir ALLAH.

Semoga kita terdiri dalam kalangan mereka yang mengambil pengajaran dan peringatan di samping bergegas bertaubat kepada ALLAH.



USTAZ IDRIS SULAIMAN
Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuwan Malaysia
www.ustazidrissulaiman.com


0 comments:

share2