Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 25, 2016

#PRNSARAWAK: MENANG DUA KERUSI TANPA BERTANDING SUNTIK SEMANGAT BN


PRN Sarawak


Lundu - Tan Sri Adenan Satem menyifatkan kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi dua kerusi tanpa bertanding setelah selesai proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) hari ini, sebagai penyuntik semangat kepada parti berkenaan.

Pengerusi BN Sarawak itu berkata, ia menunjukkan bahawa pakatan pembangkang langsung tidak mempunyai kata sepakat.

"Sudah tentu ia menyuntik semangat kita dan melunturkan semangat pembangkang. Pakatan pembangkang sangat longgar. Tiada kata sepakat antara mereka," kata Ketua Menteri Sarawak itu kepada pemberita setelah selesai proses penamaan calon, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kedua-dua kerusi yang ditandingi oleh penyandang, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan bagi kawasan Bukit Sari dan Dr Abdul Rahman Ismail untuk Bukit Kota, dimenangi tanpa bertanding.

Adenan, calon BN bagi kerusi Tanjung Datu, berkata, matlamat BN Sarawak bertanding pada pilihan raya itu dengan hanya satu agenda iaitu untuk terus mewujudkan pelbagai peluang dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Sementara, pembangkang mempunyai agenda mereka sendiri dan berasingan, dan semata-mata untuk pilihan raya sahaja, katanya ketika ditanya mengenai pertembungan sesama parti-parti pembangkang di kawasan tertentu pada PRN-11.

Bagi kawasan Batu Kitang, PKR mencalonkan Voon Shiak Ni, manakala DAP menampilkan Abdul Aziz Isa dalam pertandingan lima penjuru bagi kerusi berkenaan.

Kerusi itu turut ditandingi calon BN, Lo Khere Chiang dari SUPP (Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan) serta dua calon Bebas, Sulaiman Kadir dan Othman Bojeng.

Adenan berkata, BN bertanding pada pilihan raya itu dengan penuh keyakinan bahawa 'kita boleh meraih majoriti kerusi untuk terus membentuk kerajaan'.

Menyentuh mengenai kempen, Adenan menasihatkan jentera dan penyokong BN supaya bekerja keras dan tidak mengambil mudah terhadap pilihan raya berkenaan.

Berhubung manifesto BN yang dijangka diumumkan esok, Adenan berkata, ia akan berbeza daripada manifesto parti itu, sebelum ini.

"Ia terdiri bukan sahaja apa yang akan kita lakukan, tetapi apa yang sudah kita lakukan. Terdapat dua manifesto. Pertama mengenai apa yang telah kita lakukan, dan apa yang boleh kita lakukan," katanya.

Hari pengundian PRN-11 ditetapkan pada 7 Mei. Pilihan raya negeri itu diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak pada 11 April.


0 comments:

share2