Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 13, 2016

PERGINYA BINTANG VERSATIL


Os


'Oh kome, deghoyan dah berbunge, Moh kite minang anok dare,

Anok dare, anok dare kote, Teman jumpe di Padang Tenggale'

Biarpun sudah lebih 20 tahun dirakamkan, lagu Durian Dah Berbunga masih sedap didengari hingga ke hari ini. Bukan hanya kerana lagu, bahkan anak jati Kuala Kangsar, Perak ini juga cukup dikenali sebagai pelakon dan pengacara di Malaysia.

Bahkan tidak keterlaluan untuk menyifatkan pemilik nama sebenar Mohd Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali dengan nama Mr. Os ini sebagai bintang versatil di Malaysia.

Namun kelibat lelaki berusia 55 tahun ini, kini hanya tinggal sejarah. Hanya hasil kerjanya sahaja yang barang kali dapat dilihat oleh peminat setia dan keluarga.

Jumaat lalu, Mr. Os menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang selepas setahun menderita kanser paru-paru. Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Pertama, Gombak pada waktu petang.

Ketika hayatnya, arwah cukup terkenal dengan filem Adik dan Awang Spanar. Allahyarham sebelum itu memulakan kerjaya sebagai pelakon filem pada tahun 1986 menerusi filem Balik Kampung.

Setahun selepas itu, Allahyarham diberikan kepercayaan memegang watak utama dalam filem Mr Os. Ketika zaman kemuncaknya, Allahyarham sering digandingkan dengan pelakon Sheila Rusly, Salih Yaakob dan Aziz Sattar.

Sekitar tahun 1988, Mr Os bersama-sama Allahyarham Hussein Abu Hassan, Puteri Salbiah dan Latif Ibrahim telah membintangi sebuah filem seram Indonesia bertajuk Bisikan Arwah.

Pada 1990, Allahyarham dicalonkan kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM) di Festival Filem Malaysia ke-9 menerusi lakonan berkesannya sebagai lelaki autisme dalam filem Adik.

Mr Os juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik sebanyak dua kali di FFM iaitu menerusi filem Mr. Os (1987) dan Ghazal Untuk Rabiah (1997).

Memandu teksi

Namun seiring dengan perkembangan dan lambakan muka baharu di dalam industri, kelibat Mr Os mula tenggelam. Hanyalah sehingga kisahnya memandu teksi menjadi perhatian umum, barulah namanya disebut semula.

Bagaimanapun tegasnya pada ketika itu, dia memandu teksi untuk menambah sumber pendapatan keluarga. Pada 2009, Mr Os kembali ke persada seni Malaysia sebagai pengacara untuk rancangan televisyen TV9, Apa Ke Halnya?.

Tidak terhenti di situ, Mr Os kemudian menyertai Maharaja Lawak Mega dan membentuk kumpulan Osbon bersama Abon dan seterusnya bergelar juara.

Beliau juga sempat membuka perniagaan chalet yang dinamakan Chalet D’ Kampung Mr Os terletak di Kampung Kota Lama Kanan, empat kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Komited Kerja

Dalam pada itu, seorang lagi rakannya, A.R Badul mengakui terkejut menerima perkhabaran pemergian Allahyarham.

"Ketika mula-mula dapat tahu tadi, saya ingatkan khabar angin sebab sebelum ini pernah keluar berita sama sebelum ini. Saya pun dah lama tidak berjumpa dengan Allahyarham dan secara peribadi saya kira pemergiannya satu kehilangan dalam industri seni," katanya.

Mengenali Mr Os ketika sama-sama bekerja menerusi filem Mr. Os, Badul berkata, Allahyarham seorang yang sangat komited dalam kerja dan sangat menjaga nama.

"Menjaga nama bukan bermaksud Allahyarham mementingkan diri sendiri, tapi memastikan karya yang diterima berkualiti untuk dipersembahkan kepada peminat. Walaupun serius ketika bekerja, tapi Allahyarham sangat suka bergurau dan peramah," jelasnya.

Tambah Badul, dia kesal ketika berita Mr Os jatuh miskin sehingga membawa teksi kerana dia tahu temannya itu seorang yang suka bekerja.

"Allahyarham memang tak reti duduk diam. Saya ingin ingatkan sekali lagi, dia bawa teksi bukan kerana hidup susah tapi dia suka bekerja," akhirinya.

0 comments:

share2