Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 17, 2016

KES BULI: MEDIA PERLU MAIN PERANAN


Kes buli: Media perlu main peranan


Shah Alam – Gejala buli yang sering kali berlaku di negara ini merupakan satu masalah yang masih tidak berkesudahan serta turut menimbulkan kebimbangan di kalangan ibu bapa.

Secara definisinya, buli merupakan satu perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan masing-masing yang secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah menghormati mereka yang kuat.

Menurut pakar psikologi, Prof Madya Dr Ruhani Mat Min, dalam hal ini, media cetak dan media elektronik perlu memainkan peranan yang penting dalam memberikan pendidikan awal kepada

kanak-kanak agar mereka tidak terjerumus dalam gejala buli.

“Gejala buli ini kebiasaannya berkait rapat dengan latar belakang seseorang individu atau pelajar terlibat. Pelajar akan mengetahui mengenai sesuatu tingkah laku tersebut (buli) bila mereka didedahkan dengan perkara terbabit.

“Bila mereka didedahkan dengan perkara-perkara negatif melalui media cetak atau elektronik, pelajar tersebut tidak dapat menilai sama ada tingkah laku berkenaan baik atau tidak dan disebabkan itu, mereka terdorong untuk melakukan gejala buli di sekolah,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Selain daripada itu, Dr Ruhani turut memaklumkan bahawa mangsa yang terlibat dalam gejala buli sememangnya akan mengalami kesan yang amat berat daripada aspek perhubungan dengan rakan serta persekitaran baru di sekolah ekoran terlalu banyak kebimbangan yang timbul.

Sehubungan itu, Dr Ruhani berkata, ia akan menyebabkan mangsa buli terbabit merasa rendah diri serta memberi kesan yang membimbangkan terhadap pelajaran dan masa depan mereka.

“Ia sememangnya bakal memberi kesan yang amat berat kepada mangsa bukan sahaja melibatkan pelajaran bahkan turut membabitkan masa depan mereka selepas ini,”katanya.

Dalam pada itu, Dr Ruhani memaklumkan bahawa selain media cetak dan media elektronik, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memberikan pendidikan awal kepada anak-anak mereka agar tidak terpengaruh dengan sesuatu tindakan negatif.

Menurutnya, ibu bapa perlu memberikan penekanan kepada anak-anak tentang kebaikan atau keburukan sesuatu tindakan tersebut.

“Pengaruh media sosial amat kuat pada masa kini dan anak-anak mudah terdedah kepada sebarang kegiatan-kegiatan negatif yang berlaku. Jadi di sinilah peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan media sosial di samping menerangkan kepada mereka berhubung sesuatu tindakan tersebut,”katanya.


0 comments:

share2