Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 28, 2016

TEKAD EKORI PERAGUT, TEMUI SEMULA BEG BERISI WANG


 Tekad ekori peragut, temui semula beg berisi wang


Marang - Tindakan seorang mangsa ragut mengekori suspek sehingga suspek pulang ke rumah, membolehkan beg sandang berisi wang tunai berjumlah lebih RM800 dan sebentuk cincin serta dokumen penting yang diragut diperoleh semula.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang, pada Jumaat itu, mangsa seorang wanita berusia 43 tahun sedang menunggang motosikal bersama anak bongsunya berusia lapan tahun apabila beg sandang miliknya itu diragut seorang lelaki bermotosikal.

“Ketika itu, saya baharu tiba di persimpangan rumah di Jalan Tanah Lot, dan kemudiannya secara tiba-tiba datang sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki meragut beg yang diletakkan dalam raga motosikal tetapi talinya disilangkan pada bahu saya.

“Dia (suspek) kemudiannya melarikan diri dan selepas itu saya dan suami yang kebetulan berada di lokasi kejadian mengejarnya dengan menaiki motosikal masing-masing namun suami tersalah jalan tetapi saya terus cuba mengesannya,” katanya, kepada Sinar Harian.

Mangsa yang membawa bersama anak bongsunya itu berkata, ketika cuba mengesan suspek dia melihat seorang lelaki disyaki adalah suspek yang meragutnya berhenti di sebuah rumah di kawasan berbukit‎ kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

“Saya memberanikan diri bertanya kepada lelaki itu adakah dia perasan ada seorang lelaki menaiki motosikal yang memakai baju berwarna sama seperti yang dipakainya melintas di kawasan berkenaan namun dia kata, dia tidak nampak sesiapa.

“Saya mengesyaki bahawa dialah lelaki yang saya cuba ekori tadi lalu meminta kebenarannya untuk memeriksa dalam rumah itu, selepas diberikan kebenaran olehnya saya membuat pemeriksaan namun tidak menemui apa-apa dalam bilik utama,” katanya.

Selepas gagal menemui apa-apa di bilik utama, mangsa kemudiannya masuk dan membuat pemeriksaan di bilik kedua kerana yakin lelaki terbabit yang meragut begnya dan akhirnya berjaya menemui semula beg tersebut disorokkan dalam bilik kedua itu. 

Suri rumah itu berkata, suspek kemudiannya terus memegang tangannya agar dia tidak dapat keluar dari rumah tersebut dan dalam masa sama meminta maaf sambil mengaku bahawa dialah yang meragut beg sandang tersebut atas alasan tertentu.

“Bagaimanapun saya berkeras mahu keluar dari rumah itu dan dibenarkan keluar selepas memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak akan buat laporan polis tetapi saya mengambil keputusan sebaliknya selepas selamat pulang ke rumah,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan namun memaklumkan bahawa kes tersebut masih dalam siasatan.


0 comments:

share2