Rantau Panjang – Sungai Golok berubah seakan-akan pantai apabila pasir mula memenuhi tebing di sempadan, sejak beberapa minggu lalu.
Seorang penduduk, Sapuan Ahmad, 50, berkata, penurunan paras air di sungai ini, biasanya berlaku setiap kali musim panas bermula Mac hingga Jun.
Menurutnya, keadaan ini menjadikan Sungai Golok sebagai kawasan tumpuan terutama kepada ibu bapa yang membawa anak-anak untuk bermain air di kawasan cetek.
“Ada sesetengah kawasan tidak boleh dilalui oleh perahu atau bot kerana dasarnya yang terlalu cetek. Sungai ini juga dipenuhi kayu dan batu yang boleh merosakkan kenderaan tersebut,” katanya.
Sapuan berkata, walaupun ditemani orang tua, namun mereka mengawasi anak-anak, kerana ada sesetengah kawasan agak berbahaya untuk sebarang aktiviti.
Sebelum ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menambah bilangan anggotanya di sempadan Malaysia-Thailand dekat Rantau Panjang, berikutan penurunan paras air di Sungai Golok, yang dilihat memudahkan berlakunya aktiviti jenayah rentas sempadan.
Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zarondin Md Amin berkata, usaha itu dilakukan bagi meningkatkan kawalan sempadan, di kedua-dua negara.
Menurutnya, anggota dari 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditugaskan di kawasan sempadan itu bagi membantu anggota Empat Rejimen Sempadan (RS).
Katanya, operasi bersepadu ini turut melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Thailand.
Tinjauan mendapati tiada sebarang aktiviti menyeberang dilakukan sebaliknya kawasan ini dipenuhi penduduk yang keluar beriadah setiap petang.
Malah aktiviti mengemudi perahu turut dihentikan di beberapa kawasan kerana Sungai mulai cetek dan dipenuhi pasir, kayu dan batu.
0 comments:
Post a Comment