Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 28, 2016

PERAKAM DATA DISANGKA BOM


Perakam data disangka bom


Rembau – Rutin penduduk menjerat biawak di Ladang Ulu Sepri Pedas, di sini, petang kelmarin dikejutkan dengan penemuan satu bungkusan berisi peti dan mengeluarkan bunyi berdetik.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, Roslin Hassan, 38, dan dua lagi anak saudaranya berusia 19 dan 23 tahun sedang meninjau jerat biawak yang dipasang mereka di ladang berkenaan.

Katanya, sebelum ini dia kerap ke lokasi berkenaan, namun tidak pernah terjumpa bungkusan seperti itu, lebih-lebih lagi mengeluarkan bunyi disangkanya bom.

"Risau dengan penemuan itu, kami terus keluar dari kawasan berkenaan dan memaklumkan kepada rakan sekampung sebelum mereka menghubungi polis bagi tindakan selanjutnya.

"Kami menunggu beberapa jam kerana ingin tahu apa isi sebenar dalam bungkusan itu dan mengharap ia bukanlah seperti yang disangka (bom)," katanya ketika ditemui di lokasi, malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat orang awam menemui bungkusan disyaki bom di Ladang Ulu Sepri, Pedas.

"Unit Pemusnah Bom (UPB) telah bergegas ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan lanjut, bungkusan itu bukanlah berisi bom, sebaliknya merupakan data logger (perakam data) milik syarikat cari gali yang digunakan untuk mengesan pergerakan gas bawah tanah.

"Alat tersebut diletakkan di sepanjang laluan paip gas iaitu dari Segamat, Johor hingga ke Mambau, Negeri Sembilan," katanya.


0 comments:

share2