Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 27, 2016

[PEKAN] BERMULA PELIHARA ITIK SEKADAR SUKA-SUKA

Bermula bela itik sekadar suka-suka



Chini, Dua tahun lalu, sepasang suami isteri memelihara beberapa ekor itik di tepi rumah mereka untuk mainan cucu apabila mereka pulang ke kampung.

Bagaimanapun beberapa bulan selepas itu, Hapizah Abdullah, 56, dan suaminya Mohd Rasid Sulong, 62, mengambil keputusan untuk memelihara lebih banyak itik.

Mereka menambah sehingga 30 ekor itik sebagai percubaan dan keputusan itu ternyata berbaloi apabila jumlah ternakannya kini mencecah 120 ekor.

Hapizah berkata, pada peringkat awal, dia dan suaminya memperuntukkan RM200 hingga RM300 untuk membina sangkar menggunakan pagar besi dan kayu terbuang di atas tanah seluas 0.1 hektar.

“Tak susah jaga itik kerana dekat dengan rumah dan makanannya mudah didapati tetapi mungkin berdepan dengan penyakit itik yang tiba-tiba patah pinggang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Felda Chini 4, di sini.

Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini kesemua itiknya sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit, malah dia mampu mengutip telur di antara 60 hingga 65 biji sehari.

Katanya, kira-kira RM1,000 sebulan diperuntukkan untuk membeli dedak dan jagung selain makanan sampingan iaitu lebihan makanan rumah serta batang keladi yang dipotong kasar.

Hapizah berkata, walaupun tidak mendapat keuntungan besar tetapi dia dan suami gembira kerana boleh memberi peluang kepada rakan-rakan dan jiran mereka menikmati daging itik segar dan telurnya pada harga berpatutan.

Katanya, daging itik dijual dengan harga RM15 seekor dan RM20 bagi yang siap diproses, manakala harga telur segar ialah 50 sen sebiji dan 70 sen bagi telur masin.

Ibu sembilan anak itu berhasrat menambah itiknya supaya dapat dikomersialkan dengan lebih meluas, bukan sahaja di Chini tetapi juga di daerah lain.




0 comments:

share2