Cuaca panas susulan fenomena El Nino yang sedang melanda negara turut memberi kesan kepada golongan petani.
Pengusaha tanaman tembikai di Kampung Seri Damai, Suhaimi Mohd Noor, 37, antara yang berdepan risiko tanaman kekurangan bekalan air.
Katanya, tanaman di atas tanah seluas 2.4 hektar yang diusahakan secara berkelompok bersama abangnya, Mohd Shukri Mohd Noor, 40, kini dalam proses awal pembenihan anak pokok.
“Pada peringkat awal begini, anak pokok memerlukan air yang cukup untuk membesar, namun cuaca yang panas dan kering melambatkan proses tersebut.
“Biasanya saya hanya memerlukan dua jam sehari untuk menyiram tanaman tetapi pada musim panas, bertambah kepada sekurang-kurangnya lapan jam sehari,” katanya.
Suhaimi berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di kebunnya di Kampung Seri Damai, di sini semalam.
Menurutnya, 8,000 hingga 10,000 anak pokok tembikai baru ditanam seminggu lalu itu memerlukan penjagaan rapi terutama daripada segi keperluan air.
Katanya, dia menanam tiga jenis tembikai iaitu merah, kuning dan betik untuk dipasarkan Ramadan nanti.
“Tembikai ambil masa tiga bulan untuk keluarkan hasil dan saya harap berjaya seperti dirancang.
“Sekarang, bekalan air amat diperlukan hingga kami terpaksa buat pelbagai cara untuk pastikan bekalan air tidak putus seperti boreng air bawah tanah dan sedut air dari parit berdekatan,” katanya.
Suhaimi berkata, kos sebanyak RM50,000 dikeluarkan untuk mengusahakan tanaman berkenaan dan dia berharap usahanya berhasil.
Katanya, sejak mengusahakan tanaman enam tahun lalu, musim cuaca panas yang dialami sekarang adalah yang paling membimbangkan.
0 comments:
Post a Comment