Pasir Puteh - “Kami tidak boleh berbuat apa-apa, hanya mampu berserah dan membiarkan bot hanyut mengikut arus angin bagi mencari rangkaian telekomunikasi yang terputus,” kata Mohd Zaidi Yaacob, 41, salah seorang daripada lapan pemancing yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing berhampiran pelantar minyak Lawit, Jumaat lalu.
Mohd Zaidi berkata, mereka bersama tiga kru bot mengambil keputusan untuk ke lokasi lain kerana laut bergelora menyebabkan tiga atau empat rakan tidak dapat memancing.
Katanya, ketika mencari lokasi selamat seperti sekitar Pulau Perhentian, enjin bot mula berasap tapi tekong meneruskan juga perjalanan.
“Kira-kira jam 4 petang Sabtu, enjin bot mati, bot kami mula hanyut dan lebih mencemaskan apabila rangkaian telekomunikasi terputus, ada ketika kami menerima isyarat dari rakan di darat tetapi mereka tidak dapat menerima isyarat kami.
“Kami membiarkan bot hanyut dengan harapan ‘menemui’ rangkaian ‘radio’ Sukarelawan Perikanan (Super) untuk kami memaklumkan kedudukan kami,” katanya.
Mohd Zaidi bersama rakan-rakannya, Zakaria Kadir, 54, Mohd Suhaimi Abdul Kadir @ Ghazali, 34, Nik Mohd Shukri Nik Mustafa, 49, Mohd Zaidi E, 30, Mohd Shariful Aidi Zakaria, 31, Suhaimi Mat Jusoh, 33 dan Mohd Faizal Abdul Rahman, 31, keluar ke laut dari Pengkalan Petah, Bachok untuk memancing Jumaat lalu.
Mereka yang dikatakan memancing di lokasi kira-kira 65 batu nautika, timur laut Tok Bali hanyut bersama tekong bot, Ramli Yusoff, 50 dan dua kru dikenali sebagai Yaakub Taib, 62 dan Fauzi Abdullah, 45, itu ditemui bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) jam 10.40 malam kelmarin.
Sementara itu, Nik Mohd Shukri Nik ketika ditemui berkata, mereka sepatutnya diselamatkan lebih awal iaitu pada kira-kira jam 6 petang Ahad lalu apabila dua bot nelayan dengan kru warga asing menghampiri mereka.
“Mereka datang menghampiri dan saya meminta mereka menunda bot kami ke arah daratan, tapi mereka berlalu meninggalkan kami begitu sahaja.
“Perasaan kami tidak menentu tapi kami cuba untuk tidak panik dan sentiasa berbincang, kami bernasib baik kerana membawa bekalan makanan untuk empat hari,” katanya.
Rakannya, Mohd Faizal berkata, pengalaman seumpama itu bukan pertama dialaminya tetapi kejadian kali ini lebih menakutkan kerana jauh dari daratan.
“Pengalaman dua kali bot hanyut yang saya alami di Kuantan tahun lepas tidak sama dengan kali ini, kali ini keadaan lebih mencemaskan kerana laut bergelora,” katanya.
Syukur bapa selamat
Sementara itu, anak Nik Mohd Shukri, Nik Mohd Hafiz, 24, ketika ditemui berkata, dia bersyukur bapanya selamat.
Katanya, dia tidak dapat menggambarkan perasaan cemas apabila mengetahui ayahnya hanyut bersama rakan.
“Saya gelisah tak tahu nak buat apa, serba tak kena, risau bagaimana keadaan ayah di laut.
“Saya tak mahu ayah keluar memancing lagi, saya takut. Saya tak mahu kehilangan ayah,” katanya.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, isyarat kod telegraf dan hubungan komunikasi berjaya dikesan oleh Pengerusi Super Kelantan, Azhar Mohd Nayan dan pemilik bot berkenaan, Affendi Hussin, 36, pada jam 6.30 petang kelmarin yang kemudiannya memaklumkan kepada Maritim untuk tindakan segera.
Menurutnya, kesemua pemancing dan kru bot berkenaan ditemui selamat ditemukan jam 10.40 malam kelmarin di lokasi 77 kilometer dari timur laut Tok Bali.
“Bot Penyelamat 7 dengan kekuatan tujuh anggota membawa pulang lapan pemancing terbabit ke Jeti Operasi Maritim di Tok Bali ini pada jam 1.30 pagi ini (semalam). Tiga kru bot meminta kebenaran untuk menunggu bot berkenaan sementara dibantu nelayan setempat,” katanya.
Ismail berkata, kesemua pemancing menemui keluarga masing-masing yang menunggu di Pejabat Operasi Maritim sebelum mereka dirujuk ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk pemeriksaan kesihatan sebelum membenarkan mereka pulang.
Tekong bot guna sepenuh pengalaman
Di BACHOK, tekong bot, Ramli Yusof, 49, menggunakan sepenuhnya pengalaman 31 tahun sebagai nelayan termasuklah bersikap positif dan tidak cepat panik setelah perjalanan awal ke pelantar minyak Lawit yang lancar membawa lapan pemancing terbabit bertukar cemas akibat masalah enjin bot.
Katanya, ketika tiba di lokasi, keadaan gelombang besar dan angin angin kencang membenarkan mereka memancing selama empat jam sahaja.
“Kami hanya dapat seekor ikan sahaja, yang lainnya ada yang putus tali dan sebagainya. Selepas itu tengah hari Sabtu kami memutuskan untuk pulang walaupun sepatutnya kami di situ dua malam lagi.
“Ketika dalam perjalanan pulang itulah enjin berasap dipercayai berpunca daripada masalah minyak hitam. Alhamdulillah, bekalan makanan kami mencukupi dan semua pemancing tidak panik ketika mengetahui masalah itu. Kami biarkan bot hanyut sendiri sebelum mendapat isyarat perhubungan radio,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di jeti Kompleks Perikanan Tawang petang, semalam.
Katanya, itu bukan kali pertama dia berdepan dengan masalah bot dan dianggarkan lebih 20 kali dia mengalami masalah teknikal di laut termasuk yang lebih teruk sehingga menyebabkan air membanjiri bot mereka ketika ombak membadai.
Isyarat radio kesan kedudukan bot
Manakala, Ketua Sukarelawan Perikanan (Super) Daerah Kota Bharu, Hazahar Mat Sanisah berkata, kedudukan bot itu dapat dikesan seawal jam 4 petang kelmarin namun ia belum dapat disahkan sehingga jam 8 malam.
Menurutnya, liputan radio yang tidak jelas menyebabkan mereka sukar berkomunikasi dengan bot berkenaan.
Katanya, mereka hanya dapat berkomunikasi menggunakan isyarat nada ‘beep’ untuk mengesahkan identiti bot berkenaan.
“Petang kelmarin saya sudah dapat kesan tetapi masih belum jelas sehinggalah jam 8 malam kami dapat kenal pasti kedudukan mereka. Lepas tu barulah kami maklumkan Jabatan Perikanan untuk dilaporkan kedudukan bot itu kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) di Tok Bali.
“Maritim yang mengesan bot itu bagaimanapun tidak berupaya menunda bot rosak itu. Kemudian kami segera kerahkan bot kelas C untuk bantu tunda bot berkenaan. 10 sukarelawan Super keluar dari Kuala Genting, Tumpat jam 2.20 pagi dan tiba di lokasi 40 batu nautika dari darat pada kira- kira jam 9 pagi semalam,” katanya.
Patut boleh kesan awal
Seorang lagi sukarelawan Super, Nik Mohd Kamal Husin,47, berkata, beliau percaya sekiranya mereka mempunyai ‘receiver’ (pemancar) yang lebih besar dan canggih, lokasi bot itu sudah pasti dapat dikesan lebih awal.
Katanya, pemancar yang dimiliki mereka kini hanyalah ‘barang lama’ yang sewajarnya ditukar baharu untuk kemudahan komunikasi dan menyelamat di laut.
“Kami percaya kalau kami ada pemancar yang lebih canggih tentunya kami dapat kesan mereka ketika berada di pelantar minyak lagi dan tak perlu mereka membiarkan bot hanyut untuk dapatkan isyarat radio.
“Pemancar yang ada sekarang kecil dan tidak secanggih mana pun. Jadi kami amat berbesar hati kalau ada pihak kerajaan atau badan bukan kerajaan yang ingin bantu berikan sumbangan pemancar ini untuk kegunaan kami. Pemancar yang diperlukan itu bernilai RM40,000,” katanya yang juga ahli Kelab radio Komersial Perikanan Kelantan.
Katanya, pemancar itu amat penting untuk digunakan bagi membantu agensi kerajaan dalam memantau perairan negara daripada dicerobohi nelayan asing dan penjenayah.
Kelab Radio Komersial Perikanan Kelantan kini mempunyai keahlian 300 orang yang saling berkomunikasi antara satu sama lain.
Difahamkan, sehingga Mac tahun ini Super sudah terlibat dalam tiga operasi membantu menyelamat tiga kes bot hilang di laut.
0 comments:
Post a Comment