Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 13, 2016

[JERANTUT] 3 DICEKUP KETIKA BUNGKUS DADAH

Dicekup ketika bungkus dadah


Tiga lelaki diberkas ketika sedang membungkus dadah di sebuah bilik hotel bajet yang dipercayai menjadi transit pengedaran dadah di sekitar Bandar Jerantut, Jumaat lalu.

Pemeriksaan polis pada bilik hotel berkenaan menemui dadah jenis heroin seberat 39.85 gram, syabu seberat 4.61 gram dan sebanyak 32 biji pil kuda.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail berkata, salah seorang lelaki berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah di bawah Seksyen 39B ADB 1952 serta disabitkan kesalahan.

Menurutnya, kesemua mereka dipercayai pengedar dadah dengan menjadikan bilik hotel tersebut sebagai transit sejak sebulan lalu.

“Suspek berusia antara 26 hingga 36 tahun itu ditahan dalam Ops Tapis oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut selepas mendapat maklumat.

“Pemeriksaan air kencing mendapati mereka semua positif dadah dan polis menemui syabu serta pil kuda pada salah seorang daripada suspek.

“Turut dirampas, kereta Toyota Camry dan Isuzu Trooper serta sebuah motosikal yang dianggarkan bernilai RM30,000 selain wang tunai RM1,417,” katanya pada sidang media, di sini.

Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada sidang media sama, Azid mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki warganegara Nepal dengan kesan jerutan di leher, di sebuah ladang pisang di Kampung Sungai Lekok, semalam.

Menurutnya, mangsa berusia dalam lingkungan 20-an itu dipercayai mati dalam tempoh kurang 24 jam sebelum mayatnya ditemui pada pukul 8 pagi, hasil maklumat orang awam.

“Identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri yang dijumpai.

“Pemeriksaan di rumah kongsi di ladang pisang yang didiami mangsa dan dua rakan mendapati barang berselerak, disyaki berpunca dari pergaduhan.

“Bagaimanapun, kedua-dua rakan mangsa yang juga warganegara Nepal telah melarikan diri dan polis sedang mengesan mereka bagi membantu siasatan,” katanya.

Azid berkata, pemilik ladang berkenaan merupakan penduduk tempatan dan memaklumkan bahawa mangsa baharu empat bulan bekerja di situ.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.




0 comments:

share2