Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 2, 2015

MH370: MALAYSIA TERUS KOMITED DALAM PENCARIAN


 Ab Aziz Kaprawi


Kangar - Kerajaan Malaysia terus komited dalam pencarian pesawat MH370 yang dipercayai hilang di Lautan Hindi, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Aziz Kaprawi.

Menurut beliau, dalam usaha pencarian itu Malaysia memberi kepercayaan dan menghulurkan kerjasama sepenuhnya kepada Australia yang mengetuai dalam tugas-tugas pencarian.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-56 Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) peringkat kebangsaan di sini semalam. 

Katanya, kerja-kerja pencarian pesawat itu kini diperluaskan sehingga 120,000 kilometer persegi dalam kawasan Lautan Hindi.

Mengenai mesyuarat yang berlangsung semalam, beliau berkata sebanyak 11 resolusi telah diluluskan ke arah membantu mengurangkan kes-kes kemalangan jalan raya di negara ini. 

Antara keputusan yang dibuat ialah meminta perhatian serius diberi dalam kerja-kerja membaiki jalan di negara ini kerana kebanyakan kerja-kerja selama ini tidak mengikut piawaian dikehendaki hingga menjadi salah satu punca berlaku kemalangan di jalan raya. 

Di samping itu perhatian juga perlu diberi kepada jalan-jalan luar bandar di kawasan terpencil terutama di Sarawak yang masih banyak uzur dan terdedah kepada berlakunya kemalangan.

Abd Aziz berkata, sejak tahun 2006 hingga tahun lepas, rekod menunjukkan purata mangsa kemalangan jalan raya yang membawa maut di negara ini sebanyak 6,500 orang setahun sementara 6,674 orang meninggal sepanjang tahun lepas daripada keseluruhan 476,296 kes kemalangan yang direkodkan. 

"Setiap hari purata 19 orang rakyat Malaysia meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya, tetapi masyarakat hanya membisu", katanya. 

Menurut beliau, Malaysia akan menganjurkan hari memperingati mangsa kemalangan jalan raya yang terkorban, pada 15 November akan datang untuk kali kedua seperti yang diadakan di negara-negara lain. 

Sempena majlis itu, Abd Aziz menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Anugerah Kelab Keselamatan Jalan Raya Paling Aktif peringkat kebangsaan membabitkan sekolah rendah dan menengah dengan johan menerima wang tunai RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.

0 comments:

share2