Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 2, 2015

HALANGAN BERKAHWIN: STATUS, WANG ATAU KEBAHAGIAAN?


kahwin


“Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi", "Sama cantik sama padan" dan "Bagai pinang dibelah dua”. Itulah perumpamaan yang disebut-sebut apabila hendak memuji kecantikan dan ketampanan sepasang pengantin baharu. Luahan perasaan sebegini jelas membuktikan naluri kita sebagai manusia yang gemar kepada keindahan, dan menolak sesuatu yang tidak sepadan atau tidak secocok. 

Apatah lagi, perkahwinan merupakan ikatan perjanjian dua insan untuk berkongsi segalanya dalam menempuh kehidupan berumah tangga, yang mengharapkannya kekal sepanjang hayat.

Bagaimanapun, tidak semua perkahwinan melalui jalan mudah, walaupun yang diharapkan hanyalah penyatuan dua jiwa yang bahagia. Bersyukurlah bagi pasangan yang tidak berhalangan, tetapi bagi mereka yang ditentang perkahwinan disebabkan status pendidikan, faktor kewangan, pangkat, pekerjaan, keturunan dan sebagainya tentulah galau hati menempuh ranjau ini. Ia bukan perkara baru, masakan Tan Sri P Ramlee mampu mengangkat ke naratif filem melalui Ibu Mertuaku, jika ia tidak berlaku dalam masyarakat kita.

Soalnya mengapa isu begini masih kita bawa dan heret sama dalam urusan jodoh anak-anak? Bukankah jodoh juga rahsia ALLAH, sebagaimana kita tidak mengetahui rezeki, pertemuan dan kematian. Ada yang masih menjulang galur keturunan Syed, Nik, Sharifah, Tunku dan seumpamanya.

Tak kurang ibu bapa yang mendorong agar anak mencari pasangan berkerjaya hebat seperti doktor, peguam atau jurutera. Bagi yang berada, tak sanggup melepaskan anak ke tangan si miskin, bimbang anak hidup melarat. Si fakir pula terbelenggu dengan rasa rendah diri, menjadi takut untuk berpasangan. Halangan beginilah yang akhirnya menunda sebuah perkahwinan, membantut matlamat kebahagiaan dan usia berlalu pergi...

Siapa yang nak kita tuding jari mencari sebab berlaku. Adakah adat resam nak kita jadikan alasan atau ibu bapa perlu lebih terbuka?
Apa yang baik seharusnya dipercepatkan, lagi pun bukankah yang dicari dalam pernikahan itu adalah kebahagiaan? Usah kusutkan kepala dan menambah masalah. Kata orang... jalan saja...

Ibu bapa harus terbuka, kan jodoh si anak sememangnya telah ditetapkan sejak azali. Jika pasangan anak daripada keluarga baik-baik dan terserlah kesungguhannya untuk sama-sama memimpin keluarga apa salahnya. Asalkan tahu tanggungjawab dan boleh membimbing ke arah kebaikan, itu adalah lebih baik. Jika bakal menantu belum cukup duit, sebagai yang berkemampuan, bolehlah kita dahulukan. Penulis percaya menantu itu tadi akan membalas jasa mertuanya.

Sememangnya perkahwinan dalam Islam perlu dipermudahkan bukan membebankan pasangan itu. Kita bimbang jika banyak 'songehnya' ibu bapa, si anak bertindak di luar batas misalnya kahwin lari di sempadan, dan paling ditakuti mereka tidak berkahwin sebaliknya tinggal bersekedudukan. Apa akan jadi nanti, bagaimana dengan masa depan mereka, adakah ini 'harga' yang ibu bapa mahu bayar? Fikir-fikirkanlah...

WOW membawakan nostalgia isu ini melalui perkongsian pengalaman mereka yang pernah menghadapinya serta pandangan pakar di halaman dalam.


0 comments:

share2