Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 4, 2015

DEIG TERIMA PINJAMAN RM500 JUTA, APA KENA CAGAR?


Budiman Mohd Zohdi


Shah Alam - BN Selangor mempersoal apakah aset yang dicagarkan oleh kerajaan negeri sehingga DEIG Land menerima tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta.

Setiausaha Adun BN Selangor, Budiman Mohd Zohdi membangkitkan pertikaian bagaimana sebuah syarikat yang didakwa belum beroperasi dan didaftarkan dengan hanya RM2 boleh menerima tawaran pinjaman RM500 juta daripada sebuah kumpulan perbankan utama negara sekiranya aset kerajaan negeri tidak dicagarkan.

"Kami dimaklumkan bahawa pada 22 Julai 2015, DEIG Land telah menerima tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta untuk mengambil alih dan melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebanyak RM413.2 juta.

"Pinjaman tersebut dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah. DEIG terima tawaran tersebut selepas dua bulan didaftarkan, " katanya ketika sidang media di Lobi Dun Selangor.

Budiman yang juga Adun Sungai Panjang, memaklumkan semasa permohonan pinjaman bank tersebut dibuat dan diluluskan, DEIG Land hanya mempunyai dua orang ahli lembaga pengarah dan dua orang pemegang saham dengan nilai pegangan seringgit setiap seorang.

Bahkan, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sering mengulang kenyataan bahawa DEIG dan anak-anak syarikatnya masih belum beroperasi.

Persoalan lain, menurut beliau difahamkan program penyelesaian asal menjadualkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membeli sebahagian daripada bank tanah KHSB dari KDEB.

Katanya,hasil transaksi tersebut kemudiannya akan digunakan oleh KDEB untuk melunaskan pinjamannya dengan kerajaan negeri.

“Mengapa tidak teruskan pelan penyelesaian asal menerusi PKNS tetapi sanggup membiarkan DEIG berhutang dan menanggung beban faedah yang tinggi?

"Kita minta dibentangkan secara telus,lengkap dan komprehensif kesemua aset milik negeri yang telah dicagarkan kepada bank untuk terima tawaran pinjaman tersebut?

"Bukankah semua pihak berdepan dengan risiko amat tinggi sekiranya aset bernilai RM1.02 bilion dicagarkan kepada bank oleh sebuah syarikat sendirian berhad yang hanya bernilai RM2," katanya.

Beliau menggesa Azmin kemukakan senarai aset-aset yang dicagarkan kepada bank berkenaan.

Malah selagi penstrukturan belum selesai dan kertas putih tidak dibahaskan dalam Dun, DEIG tidak dibenarkan beroperasi, desak Budiman.

"Kita curiga DEIG Land terima tawaran pinjaman, kita anggap akan ada benda dicagarkan..mana ada bank sanggup buat tawaran tinggi tanpa cagaran.

"Hal demikian, Azmin harus beri perhatian serius terhadap semua isu yang sudah enam kali saya bangkitkan namun tiada sebarang maklum balas. Perkara ini sangat kritikal ia melibatkan ketelusan, kebertanggung jawaban, kejujuran dan integriti sebuah kerajaan yang diberi amanah untuk mempertahankan hak dan harta rakyat," katanya.

Budiman menyeru Azmin agar tidak mencemar kesucian Dun dengan memberi jawapan- jawapan penuh kesangsian.


0 comments:

share2