Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 28, 2015

BANJIR: JANGAN SEBARKAN KHABAR ANGIN


Facebook


Kuala Lumpur - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan khabar angin atau maklumat tidak benar berkaitan banjir yang dijangka berlaku di beberapa negeri berikutan musim tengkujuh.

Peringatan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar itu bertujuan memastikan maklumat berkenaan tidak menjejaskan operasi pasukan keselamatan terlibat.

Zulkifeli berkata tindakan sesetengah individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu melalui aplikasi WhatsApp dan juga laman sosial Facebook mengenai kejadian banjir akan menjejaskan operasi menyelamat.

Sebagai contoh, katanya khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial kononnya 10 orang dipercayai mati lemas akibat terperangkap dalam rumah di Guchil, Kuala Krai akibat banjir ketika bah kuning tahun lepas.

"Tindakan mereka ini akan mengeruhkan lagi keadaan dan saya minta orang ramai jangan percaya berita yang tersebar di media sosial. Mereka perlu merujuk kepada pihak berkuasa untuk pengesahan malumat yang diterima," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Khalid berkata ketika musim banjir juga, seringkali tersebar berita dan amaran palsu melalui media sosial dan orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan lanjut.

Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyukarkan operasi pihak keselamatan, sebaliknya boleh menimbulkan suasana panik kepada masyarakat.

"Benda-benda begini bukan mainan dan merupakan perkara yang serius kerana ia melibatkan nyawa orang. Jangan sampai keadaan bencana tidak ada (berlaku) tapi menyebabkan panik dan orang mati tanpa sebab kerana keadaan huru-hara," katanya.

Khalid berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir.


0 comments:

share2