Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 17, 2015

[KUANTAN] BANJIR: JANGAN EKSPLOITASI KEADAAN


Tengku Abdullah



Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan pihak dan agensi yang terlibat dalam membantu mangsa banjir agar komited dalam tugas mereka dan tidak mengeksploitasi keadaan.

Baginda bertitah, pasukan yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan mangsa-mangsa banjir perlu amanah dalam tugas mereka bagi memastikan mangsa mendapat bantuan yang sewajarnya.

"Saya harap semua pihak yang diberi amanah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab...segala bekalan makanan hanya disampaikan kepada mereka yang memerlukan dan tiada siapa yang harus mengeksploitasikan keadaan sebegini," titahnya.

Baginda bertitah demikian selepas mendengar taklimat persediaan menghadapi banjir oleh kerajaan negeri di Wisma Persekutuan, di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Mohammad Safian Ismail serta barisan exco kerajaan negeri. 

Dalam pada itu, baginda bertitah pada tahun ini, kerajaan negeri membuka 653 pangkalan hadapan berbanding 627 pangkalan tahun lepas bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negeri.

Penambahan pangkalan hadapan itu boleh menempatkan kira-kira 153,000 mangsa banjir di negeri Pahang dalam satu masa.

Tengku Abdullah juga menasihatkan agar penduduk di kawasan Kuantan, Rompin dan Pekan atau yang menetap di kawasan rendah serta berdekatan sungai untuk terus berwaspada kerana mengikut ramalan kaji cuaca, hujan akan turun lebat di tiga daerah berkenaan pada Disember ini.

Baginda juga dalam masa sama turut menitahkan semua surau dan masjid di negeri ini supaya mengadakan solat hajat bermula minggu ini memohon agar bencana banjir tidak berlaku tahun ini.

0 comments:

share2