Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 24, 2015

SOLAT KETIKA AZAN: MASIH RAMAI YANG KHILAF


solat


Sebagai Islam, mendirikan solat lima waktu adalah hukum yang wajib dipatuhi oleh setiap Muslim yang beriman.

Solat itu tiang agama. Sejak kecil kita diajar untuk mendirikan solat yang akan menjamin kehidupan kita di akhirat nanti.

Walaupun ada sebilangan kita yang alpa, namun kebanyakan dari kita masih teguh mendirikan amal ibadat, buat bekalan di hari mati esok.

Terdetik penulis untuk mencoretkan tulisan kali ini mengenai khilafnya kita tentang menjaga solat serta hubungan kita dengan ALLAH.

Mungkin sudah ramai yang tahu, namun masih ada yang khilaf tentang hukum-hukum solat ketika mendirikan solat.

Kisah bermula ketika penulis singgah di sebuah stesen pam minyak di bandar ini untuk mendirikan solat Asar.

Solat Asar pula dilakukan sudah agak lewat kerana terlalu lama tersangkut di dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan.

Tergopoh-gapah penulis mengejar waktu untuk ke ruang solat yang disediakan di stesen minyak tersebut.

Penulis masuk ke ruang solat yang agak kecil. Di dalam bilik solat tersebut, sudah ada dua wanita yang lengkap bertelekung.

Barangkali bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib.

Sebelum menunaikan solat, sempat penulis mengerling ke arah jam yang tersedia. Hanya ada lagi 15 minit sebelum azan Maghrib berkumandang.

Selesai solat Asar disempurnakan, penulis menunggu tibanya azan Maghrib yang bakal berkumandang pada bila-bila masa.

Tidak sampai tiga minit menunggu, azan Maghrib mula kedengaran.

Dua wanita di kiri dan kanan penulis tidak menunggu lama. Mereka bangun dan terus solat sebaik sahaja azan kedengaran.

Penulis yang berada di kedudukan di tengah-tengah antara keduanya hanya diam terpaku. Tertanya-tanya sendiri.

Bukankah solat itu sepatutnya didirikan selepas azan berakhir? Dan apa pula hukumnya mendirikan solat ketika azan?

Ketika itu penulis tersedar. Kita masih khilaf dalam menjaga hubungan kita denganNYA.

Sebagai hambaNYA, kita semua selalu mengambil mudah dalam menjaga kejernihan urusan ibadah kita kepadaNYA.

Beberapa hari selepas kejadian tersebut berlaku, penulis mengambil keputusan untuk menghubungi seorang ustaz bagi bertanyakan perihal tersebut.

Dr Mohd Azhar Abdullah namanya.

Beliau yang Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kolej Antarabangsa Sultan Ismail Petra, menjawab tenang ketika dihubungi untuk menjawab persoalan tersebut.

Menurutnya, antara syarat sah solat adalah solat yang dilakukan sebaik sahaja masuk waktu solat dan mengerjakan solat ketika azan waktu solat baharu sahaja berkumandang menjadikan solat tersebut sah.

Bagaimanapun mengerjakan solat ketika azan adalah makruh bagi lelaki, manakala wanita pula disunatkan untuk menunggu selesai azan sebelum mengerjakan solat.

“Dari sudut sunnah para sahabat Nabi, solat dilakukan selepas usai azan kedengaran. Mengerjakan solat selepas azan membolehkan kita melakukan beberapa prinsip seperti menjawab azan ketika azan berkumandang dan melakukan solat sunat dua rakaat selepas azan.

“Solat ketika azan adalah makruh bagi lelaki kerana perbuatan tersebut akan menyebabkan ‘tercicirnya’ lelaki tersebut daripada jemaah yang bakal menunaikan solat bersama. Bagi kaum wanita pula, adalah sebaiknya menunggu azan selesai kemudian baharulah solat dikerjakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Menurutnya lagi, perbuatan solat ketika azan akan menyebabkan hilangnya kemanisan dalam mengerjakan ibadah tersebut.

“Islam tidak menghalang umatnya bersolat ketika azan masuk waktu, namun ia akan menyebabkan makruh. Makruh itu bermakna kita melakukan perkara-perkara yang ALLAH tidak suka.

“Kita akan hilang kemanisan dalam bersolat (sekiranya bersolat ketika azan masuk waktu masih kedengaran). Kita masih peroleh pahala, tetapi pahala itu tidak cantiklah,” katanya lagi.

Jelas beliau lagi, solat yang didirikan dipenghujung waktu sehingga masuk waktu solat fardhu lain juga masih dikira sah.

“Sebagai contoh, kita solat Asar dihujung waktu, tiba-tiba azan Maghrib kedengaran, maka solat kita perlu diteruskan. Tidak ada sebab untuk menghentikan ibadah.

“Solat masih sah sekurang-kurangnya satu rukuk. Solat di akhir waktu itu (sama ada) qada atau tunai adalah sempat rukuk atau tidak pada rakaat yang pertama, jika ia solat Asar n rukuk dan sempat tama' ninah seketika dalam rukuk dan tiba-tiba azan maghrib, maka dikira solat asar sebagai tunai, jika tidak sempat rukuk maka dikira qada,” jelasnya.

0 comments:

share2