Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 24, 2015

SEDIH, NAMUN SAYA TERIMA INI ADALAH KETENTUAN-NYA


'Sedih, namun saya terima ini adalah ketentuan-Nya


Sabak Bernam – “Saya tak sedar apa yang berlaku. Tiba-tiba saya nampak suami tersepit pada kerusi pemandu sambil tangannya terkulai dan tak bergerak,” demikian luah seorang isteri mangsa kemalangan maut, Siti Rasidah Mat Yusof, 33.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang kelmarin, mangsa, Muhammad Noor Yaakub, 33, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta Perodua Kembara dipandunya dilanggar sebuah lori hingga mengakibatkan kereta itu tertolak ke depan sebelum merempuh belakang sebuah lori di hadapannya.

Siti Rasidah berkata, sebaik tersedar, dia tergamam apabila melihat anggota polis dan bomba berada di tempat kejadian sambil memotong bahagian badan kereta kenderaan yang dinaikinya bersama suami dan dua anaknya iaitu, Nurfaiqah Dayana, 4, dan Muhammad Firas Mikail, setahun.

“Kalau ikutkan memang sedih, apabila suami pergi dahulu meninggalkan kami, terutama di saat anak masih kecil lagi. Namun saya terima ini adalah ketentuan-Nya.

“Walaupun kehilangan suami, tetapi saya bersyukur sebab dua anak saya masih selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Siti Rasidah berkata, kejadian kemalangan itu berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke rumah ibunya di Parit 9 Sungai Leman Sekinchan.

Ditanya tentang perubahan sikap arwah suaminya, Siti Rasidah anak keempat daripada enam beradik menjelaskan tiada sebarang perubahan tingkah laku pelik sebelum suaminya itu meninggal dunia.

“Cuma dia pernah tanya pasal tarikh dan hari bulan Islam ketika kami berbual sambil menonton televisyen bersama anak-anak,” jelasnya.

Selapas kejadian meragut nyawa suaminya itu, Siti Rasidah merancang untuk berpindah dan menetap bersama ibunya di kampung itu serta meneruskan kerja mengambil upah menjahit pakaian seperti sebelum ini.

Jauh di sudut hati Siti Rasidah, dia tetap bimbang jika Nurfaiqah sering mengingat arwah suaminya itu, apatah lagi anak sulungnya itu menganggap Muhammad Noor ‘tidur’ selepas kejadian berkenaan.

“Sehari, dua ni mungkin dia tak tanya ayahnya. Saya risau kalau esok, lusa dia bertanya lagi ke mana ayahnya pergi? Saya akan usaha jelaskan keadaan sebenar supaya dia faham apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, jenazah Muhammad Noor yang sebelum ini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat kemudiannya telah dibawa pulang ke kampung halamanya di Kuala Ketil, Kedah untuk dikebumikan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan kejadian itu yang dikendalikan Inspektor Afiq Azhar Azrul Hardav di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

0 comments:

share2