Kota Bharu - Pelajar sekolah berusia 15 tahun antara yang dikompaun dalam Ops Samseng Jalanan kerana tidak memiliki lesen termasuk kesalahan trafik lain, di jalan Kemumin kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, Rabu lalu.
Dalam ops berkenaan yang dijalankan sekitar jam 7 petang hingga 9 malam, seramai tujuh remaja berusia 15 tahun dikenakan kompaun, turut disaman 10 orang berusia antara 16 hingga 20, sembilan berusia 21 hingga 25, sembilan berusia 26 hingga 30 dan seorang berusia 31 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, ops berkenaan dijalankan bagi membanteras kegiatan ‘mat rempit’ dan samseng jalanan yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Ini disebabkan perlakuan mereka yang tidak mematuhi undang-undang dan hanya mengikut kehendak sendiri tanpa memikirkan kesan dan akibat kepada pengguna jalan raya lain.
“Kita amat ambil berat isu terbabit dan tidak akan berkompromi terhadap pesalah trafik dan akan mengeluarkan kompaun serta merta bagi memberi pengajaran kepada pihak berkenaan,” katanya.
Rohaimi berkata, dalam ops yang diketuai seorang pegawai dan dan 11 anggota bahagian trafik itu sebanyak 64 kesalahan trafik dikesan pihaknya.
Antara kesalahan terbabit termasuk tidak memakai topi keledar, tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, ubah ekzos dan pelbagai kesalahan lagi.
“Kita juga turut menahan 19 motosikal yang dipercayai diubah suai selain kesalahan trafik lain, untuk pemeriksaan lanjut.
“Ops terbabit akan diteruskan dari masa ke semasa bagi membanteras kegiatan samseng jalanan di sekitar daerah Kota Bharu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment