Pasir Puteh - Seekor gajah yang dikatakan menceroboh kawasan penduduk dan memusnahkan kebun beberapa kampung di sini, sejak sebulan lalu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohammad Khairi Ahmad berkata, gajah betina itu ditangkap dengan menggunakan kaedah tembakan ubat pelali Rabu lalu.
Katanya, gajah itu dikesan enam anggota unit tangkapan hidupan liar Kota Bharu dan pegawai Pusat Gajah Kuala Krai jam 4 petang, kira-kira 200 meter dari jalan utama ke kawasan Hutan Lipur Jeram Linang.
“Kita tangkap dan merantainya dengan diawasi anggota Perhilitan sementara menunggu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, tiba ke lokasi memindahkannya.
“Gajah itu akan dipindahkan dengan menggunakan denak yang merupakan seekor gajah jinak yang dilatih khas sebelum dihantar ke lokasi yang belum ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, gajah itu masih muda berdasarkan tapak kakinya yang berukuran 0.3 meter dan belum tumbuh gading.
Sebelum ini, penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Gong Genor, Kampung Bukit dan Lepan Rambai mendakwa terancam dengan pencerobohan sekumpulan tiga hingga lapan gajah di kawasan mereka sejak sebulan lalu.
Keadaan itu menyebabkan penduduk takut untuk ke kebun masing-masing sehingga tanaman terpaksa dibiarkan begitu sahaja.
Mohammad Khairi berkata, pihaknya akan terus memantau pergerakan kawanan gajah liar yang masih berkeliaran di sekitar kampung berkenaan untuk mencari makanan terutama sepanjang musim buah-buahan.
“Kita akan memastikan kawanan hidupan liar ini tidak menghampiri kawasan kediaman penduduk dengan mengusirnya ke habitat asalnya.
“Menembak gajah dengan ubat pelali dilakukan dalam keadaan mengizinkan dan ia dilaksanakan dengan penuh berhati-hati dengan keselamatan semua pihak termasuk pegawai bertugas diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai diminta tidak mengambil peluang melihat gajah terbabit dengan membawa anggota keluarga kerana haiwan itu boleh bertindak agresif dan luar jangkaan jika ia berasa terancam.
0 comments:
Post a Comment